Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon optimis peraturan kawalan ekonomi yang akan diperkenalkan oleh Malaysian Football League (MFL) pada tahun hadapan dapat memberikan satu suasana baharu dalam bolasepak tempatan.

Tanpa berselindung, Johan menganggap ianya selaras misi MFL mahu mengangkat imej Liga Malaysia di peringkat antarabangsa dan memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan kawalan ekonomi diwujudkan bagi terus memastikan pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak dihimpit dengan masalah hutang tunggakan gaji pemain.

Justeru, Johan berharap usaha MFL itu harus mendapat sokongan daripada semua pihak dan dipandang serius termasuk oleh pihak pengurusan persatuan negeri dan kelab yang harus bersedia mengubah mentaliti mereka.

“Ini adalah satu langkah positif bagi memastikan keharmonian Liga Malaysia terpelihara. Secara peribadi saya menganggap Liga Malaysia sebenarnya memiliki potensi cukup besar untuk menjadi salah satu tarikan di Asia dan jika kita memiliki sistem lebih efektif, secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah dihadapi pasukan-pasukan yang berdepan masalah kewangan,” katanya.

Sementara itu, Johan turut menganggap pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh MFL ini harus diteliti lebih mendalam memandangkan perbezaan ketara di antara Liga Malaysia dan LaLiga.

“Apa yang saya harapkan adalah MFL harus sentiasa memastikan pengenalan beberapa polisi baharu hendaklah sesuai dengan liga tempatan kerana liga kita masih jauh beza jika mahu dibandingkan dengan LaLiga,” tambahnya.

Sebagai rekod, MFL baru-baru ini menerusi kenyataan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan badan pentadbir Liga Malaysia itu bersedia mempraktikkan sistem kawalan ekonomi seperti yang digunakan LaLiga.

Menerusi kawalan ekonomi ini perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -