foto – Johor Southern Tigers

 

 

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Dr Amar Pritpal Abdullah berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat mengadakan pertemuan dengan Malaysian Football League (MFL).

Beliau berkata, selaku rakan kongsi MFL, semua pasukan negeri dan kelab perlu mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan apa saja isu berbangkit daripada terus mensensasikan menerusi media.

“Pada pendapat saya apa saja permasalahan, sesuatu isu yang tidak jelas perlu diatasi menerusi perbincangan demi situasi menang-menang.

“Kita perlu mendapat penjelasan sebelum membuat apa-apa keputusan. Kita selesaikan dulu secara dalaman sebelum bawa keluar. Kita semua adalah rakan kongsi dan seharusnya mempunyai hak untuk bersuara tapi secara perbincangan bersama,” katanya.

Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam memberi kenyataan untuk menjemput KFA mengadakan perbincangan pada 10 Januari ini.

Ini berikutan KFA tidak menghantar wakil ketika pertemuan MFL bersama 24 rakan kongsi lain terdiri daripada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, nada sama turut dikongsi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad yang menyifatkan pendekatan MFL seharusnya disambut lebih positif.

“Sebagai rakan kongsi bersama MFL, saya berpandangan Kedah duduklah berbincang dahulu bersama MFL.
“Dalam perbincangan itu, mereka boleh bertanyakan terus apa sahaja perkara berbangkit sebagaimana rakan-rakan kongsi lain lakukan dalam Taklimat Pasukan Liga Malaysia di Johor pada minggu lalu.

“Sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya, terpulang kepada mereka tetapi apa yang mustahak, mereka juga sebagai rakan kongsi harus tahu kepentingan mereka dalam MFL.

“Saya secara peribadi berharap perkara yang melibatkan Kedah ini dapat ditangani dengan lebih baik kerana kita mahu menyaksikan liga negara berjalan lebih harmoni,” katanya.

Sebagai rekod, pada 3 Januari lalu, MFL telah menjemput semua rakan kongsi liga terdiri daripada FAM dan 24 buah pasukan yang bertanding untuk membincangkan berkenaan isu ejen pemain, kontrak pemain, perlembagaan MFL, jadual pertandingan dan hal lain berkaitan liga. Walau bagaimanapun, pihak KFA tidak hadir pada saat akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan kemudiannya berkata, “Sebagai badan pentadbir liga bola sepak Malaysia, MFL sentiasa mengambil berat permasalahan setiap pasukan dan KFA juga terikat dengan peraturan sama seperti 24 rakan kongsi yang lain.

“Pihak MFL mahu membantu KFA memahami apa terkandung dalam perjanjian dan undang-undang yang sedia ada. Ini termasuk perkara-perkara berkaitan perancangan MFL dalam operasi dan pengurusan liga telah dijelaskan kepada semua pasukan dalam perjumpaan baru-baru ini yang dihadiri oleh semua pasukan kecuali Kedah.

“Penglibatan MFL dalam mana-mana isu seperti ini adalah amat relevan untuk menjaga kepentingan Liga Malaysia serta rakan kongsi yang lain yang merupakan 23 pasukan lain serta FAM.

“MFL sentiasa berusaha dalam menambah baik imej liga dan melindungi rakan kongsi daripada terus dilanda kontroversi. MFL berharap perbincangan dengan KFA dapat direalisasikan bagi jalan penyelesaian terbaik isu ini.” MUHD AIMAN 

- Advertisement -