Kim Swee dalam dilema mahu senaraikan pemain JDT atau tidak

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/01/kim-swee-dalam-dilema-mahu-senaraikan-pemain-jdt-atau-tidak">
Twitter
Pinterest

Jika diberikan pilihan, ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara Dato’ Ong Kim Swee sememangnya mahu membawa skuad terkuat untuk beraksi di Kejuaraan AFF 2019 B-22 yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.

Apatah lagi , ia bakal menjadi peluang terbaik untuk menguji dan menilai pemainnya sebelum beraksi pula di Kejuaraan AFC B-23 di Kuala Lumpur pada bulan Mac.

Begitupun Kim Swee masih berbelah bahagi dan dia belum pasti sama ada mahu menyenaraikan atau tidak pemain-pemain utama dari Johor Darul Takzim (JDT) untuk menghadapi pertandingan itu.

“Memang saya harap semua pemain terbaik dapat dibawa ke pertandingan AFF. Ia begitu penting kerana dua minggu selepas pertandingan itu, kita akan beraksi di pertandingan AFC.

“Tetapi, saya juga harus fikir mengenai mereka yang terbabit dengan liga termasuk pemain JDT yang turut akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia. Jadi saya kena buat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan siapa yang akan dipanggil,” kata Kim Swee kepada pemberita sebaik tiba dari Bangkok, pada Sabtu.

Antara pemain JDT dalam skuad B-22 kebangsaan adalah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Syazwan Andik Ishak selain Dominic Tan dan S.Kumaahran (JDT II) yang turut berpeluang dipanggil jika menunjukkan prestasi baik.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi barisan pemainnya sepanjang kem latihan pusat dan siri perlawanan persahabatan di Bangkok, Kim Swee mengakui dia belum berpuas hati setelah menyaksikan skuad bimbingannya tewas ketiga-tiga perlawanan kepada BG Pathum United (0-2), Army United (1-3) dan Ayuthaya United (5-7).

“Memang ada peningkatan tetapi secara keseluruhan hanya separuh daripada mereka yang dibawa ke Bangkok mencapai tahap prestasi memuaskan. Pemain-pemain juga tidak konsisten dan saya perlu memperbaiki masalah ini dalam tempoh waktu yang tinggal.

“Sebab itulah Kejuaraan AFF ini begitu penting untuk saya mengumpulkan skuad terbaik dan menilai kekuatan sebenar pasukan,” ujarnya lagi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0