Syarikat Malaysia diminta merebut peluang terhadap permintaan produk halal yang tinggi di Jepun terutama menjelang Sukan Olimpik 2020, Julai hingga Ogos tahun hadapan.

Presiden Pertubuhan Usahawan Agro Malaysia, Datuk Seri G. Gnanaraja, berkata Jepun mensasarkan kemasukan lebih 40 juta pelancong sempena penganjuran Sukan Olimpik dengan sebahagian daripadanya adalah pelancong beragama Islam.

Justeru beliau menggesa usahawan tempatan memasuki pasaran halal Jepun secara agresif khususnya segmen makanan dan minuman.

“ Permintaan bertambah ketika Jepun membuat persediaan kemasukan pelancong luar yang dijangka meningkat tahun ini sehingga Sukan Olimpik nanti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agenda Pemerkasaan Usahawan Bumiputera Islam Malaysia di Putrajaya.

“ Jepun yang memberi tumpuan melonjakkan angka kemasukan pelancong ke Negara itu, menyasar untuk memanfaatkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 bagi menarik sejuta pelancong beragama Islam setahun,” katanya.

Gnanaraja berkata Malaysia mempunyai ramai usahawan yang mengusahakan produk halal yang dilihat bersesuaian bagi tujuan eksport. Ia sejajar dengan usaha untuk memastikan produk halal dari negara ini mendapat pasaran meluas di Jepun menjelang sukan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau meminta semua usahawan agar memastikan produk yang mereka hasilkan mampu memenuhi kriteria untuk dieksport ke luar Negara.

“ Sekiranya kita mahu menembusi pasaran antarabangsa, usahawan perlu melihat kembali produk mereka dan melakukan perubahan termasuk kualiti produk, pembungkusan dan maklumat nutrisi,”

“ Syarikat Malaysia perlu memastikan bahawa produk mereka memenuhi keperluan persijilan dan piawaian yang ditetapkan bagi memasarkan produk halal mereka di Negara itu,” katanya.

Malaysia mengeksport produk halal bernilai RM42.2 billion pada 2016, peningkatan 7.1 peratus daripada 39.4 billion tahun sebelumnya.

Jepun adalah destinasi eksport halal keempat terbesar negara pada 2016 dengan bernilai RM2.67 billion, peningkatan 20.8 peratus berbanding RM2.21 billion pada 2015.

Kategori produk utama dengan nilai eksport tertinggi ialah ramuan halal sebanyak RM1.22 billion, disusuli makanan dan minuman (RM990 juta), dan derivative minyak sawit (RM260 juta).

Pada 2017, Jepun adalah rakan perdagangan keempat terbesar selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah nilai perdagangan RM138.5 billion.

- Advertisement -