Karakter ditunjukkan pemain import, Lee Tuck baik di dalam mahupun luar padang tidak pernah gagal untuk menarik perhatian jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim.

Sambil menyifatkan Lee Tuck sebagai salah seorang pemain paling rajin dalam skuad kendaliannya, Irfan berkata, pemain kelahiran England berusia 30 tahun itu sentiasa memberikan komitmen penuh dalam setiap arahan diberikan terutama ketika sesi latihan.

Justeru, bekas jurulatih Selangor dan Felda United itu percaya kualiti, kesungguhan, disiplin dan atitud Lee Tuck dalam melaksanakan setiap arahan jurulatih sebaik mungkin seharusnya dijadikan contoh terbaik bagi mendidik pemain muda.

“Saya sentiasa tertarik dengan Lee Tuck. Seorang pemain yang cukup rajin tidak kira dalam sesi latihan mahupun perlawanan. Jika dalam sesi latihan, dia orang pertama tiba dan dia orang yang terakhir (meninggalkan sesi latihan). Baginya, bola sepak adalah segala-galanya dan itulah sebab mengapa saya sebagai jurulatih sentiasa senang dengannya.

“Setiap kali dia diturunkan, Lee Tuck akan memberikan lebih daripada apa yang diminta. Karakter Lee Tuck ini seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua pemain khususnya pemain muda tempatan.

“Cuma saya juga ada nasihatkan kepada dia supaya kurangkan bermain secara individu ketika beraksi di atas padang dan dengan pakej yang sedia ada, sudah pasti saya sentiasa gembira kerana Lee Tuck mampu memberikan pengaruh positif kepada rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Sebagai rekod, Lee Tuck telah menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan musim lalu.

Sementara itu, Irfan percaya laporan media tempatan yang sebelum ini mengaitkan pemain kelahiran England itu bakal menyertai pasukan kebangsaan tidak akan menjejaskan fokusnya menghadapi saingan Liga Super 2019.

“Seperti saya katakan tadi, dia seorang yang komited atau mungkin Lee Tuck lebih teruja untuk menunjukkan prestasi lebih bagus pada musim baru selepas dia kerap dikaitkan untuk menyertai Harimau Malaya.

“Namun apa yang saya nampak, mungkin Lee Tuck akan menjadikan tawaran itu sebagai suntikan motivasi dan ini sudah pasti memberikan kelebihan buat TFC,” tambah Irfan.

TFC naib juara Piala Malaysia musim lalu akan memulakan aksi Liga Super 2019 bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu (1 Februari) sebelum berkunjung ke Stadium Darul Makmur Kuantan menentang Pahang bagi aksi kedua pada 8 Februari.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -