Malaysian Football League (MFL) telah bersedia untuk melaksanakan peraturan kawalan ekonomi seperti yang telah dipraktikkan oleh LaLiga dalam usaha menangani masalah kewangan yang dihadapi pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menjelaskan kawalan ekonomi yang telah digunapakai oleh LaLiga sejak tahun 2012 telah terbukti berjaya menghapuskan hutang majikan ke atas pemain.

Menurutnya selepas peraturan itu diperkenalkan, LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekaligus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Justeru, Yusoff percaya sistem itu yang turut menarik minat Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dapat membantu pasukan Liga Malaysia dalam memahami peraturan dan menimba ilmu baharu dalam pengurusan kewangan.

“Dengan cara ini, sistem kawalan ekonomi LaLiga telah berjaya mengurangkan jumlah hutang daripada 340 kes pada 2012 dan menjadi sifar pada 2017 di mana pasukan-pasukan telah berjaya melangsaikan hutang mereka dalam tempoh lima tahun sahaja.

“Pada 2012, beberapa pasukan daripada 42 kelab LaLiga berdepan status bankrap tetapi dengan melaksanakan sistem kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kewangan mereka.

“Dengan mengenakan kawalan ekonomi, setiap pasukan perlu membentangkan jumlah kewangan yang mereka ada untuk bertanding dengan kontrak penajaan yang sah dan bukannya ‘atas angin’ atau dengan erti kata lain perjanjian secara lisan.

“Setiap perbelanjaan pasukan akan dikawal termasuk pembelian pemain. Sebagai contoh, meskipun mereka mempunyai dana RM50 juta, tapi mereka hanya dibenarkan berbelanja sebanyak RM20 juta saja bagi memastikan kewangan mereka stabil untuk musim seterusnya,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Yusoff, seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah MFL merangkap Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut berada di Madrid untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada wakil MFL yang mengikuti bengkel selama tiga hari di Ibu Pejabat LaLiga itu.

Dalam perkembangan sama, Yusoff juga mendedahkan sistem kawalan ekonomi ini memberikan penegasan baharu dalam dunia bola sepak tempatan dengan memberi contoh Elche FC disingkirkan daripada LaLiga gara-gara berdepan berdepan masalah hutang biarpun menduduki tangga ke-13 pada musim 2014/2015.

“Selain Elche FC, Real Murcia juga diberikan hukuman kerana tidak mematuhi peraturan ini di mana mereka diarahkan bermain di Divisyen Tiga biarpun menduduki kelompok empat teratas Divisyen Dua apabila gagal menyelesaikan masalah hutang pada tahun 2014.

“Jadi, saya percaya MFL berada dalam landasan tepat di mana sistem ini bukan sahaja melicinkan perjalanan liga sebaliknya turut mendidik pasukan-pasukan Liga Malaysia menguruskan kewangan kelab dengan lebih baik,” tambahnya.

Selain kawalan ekonomi, pelbagai input baru turut dikongsi LaLiga kepada MFL dalam bengkel itu termasuk asas LaLiga, keselamatan dan integriti, pemasaran antarabangsa, penyiaran dan teknologi maklumat.

Hasil intipati bengkel selama tiga hari itu yang dihadiri wakil MFL iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, Mohd Shazli Shaik Mohd (Ketua Pegawai Operasi), Winnie Chan (Ketua Pegawai Komersial), Desmond Raju (Pengurus Besar) dan Reuben Chong (Pengurus Strategi dan Perancangan) bakal dibentangkan kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu sebelum dijangka akan dilaksanakan bermula tahun depan.

MFL yang sebelum ini dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada Januari tahun lalu menandatangani perjanjian persefahaman dengan liga profesional Sepanyol, LaLiga untuk bekerjasama dalam pembangunan aspek urus tadbir dan teknikal pengurusan liga.

Perjanjian kerjasama selama tiga tahun itu menyaksikan LaLiga dan FMLLP bekerjasama untuk membangunkan blueprint 50 tahun Liga Malaysia.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -