Majlis perasmian Oval Kriket UKM-YSD oleh Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah berlangsung dengan jayanya pada 7 JANUARI 2019 di Padang Oval UKM-Yayasan Sime Darby (YSD), Kampus Induk, UKM Bangi, Selangor.

Turut dihadiri oleh Pemangku Pengerusi YSD, Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, Naib Canselor UKM, Prof IR Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor, dan Ketua Pegawai Esekutif YSD,  Yatela Zainal Abidin

Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid berkata, “Dengan adanya kompleks kriket bertaraf dunia ini, kami berharap lebih ramai lagi pemain kriket yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dapat dilahirkan di samping meningkatkan mutu sukan negara.

Kerjasama tanggungjawab sosial korporat bersama UKM ini adalah selaras dengan teras sukan Yayasan Sime Darby dalam membangunkan bakat generasi muda dan memupuk amalan gaya hidup sihat”.

Pembinaan oval bernilai RM 2.4 juta dengan RM1.4 juta hasil tajaan YSD yang prihatin kepada sukan tanah air secara amnya dan kepada UKM khususnya yang merupakan pusat kecemerlangan sukan kriket, lumba basikal, golf serta bola, telah mula dibina pada 1 Januari 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun 2018. Persatuan Kriket Melayu Malaysia merupakan penasihat utama kepada projek ini.

Oval seluas 1.6 ekar ini dibina di Padang UKM, UKM Bangi untuk pelbagai kejohanan diperingkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Pelbagai kejohanan berprestij telah diadakan sejak Oktober 2017 apabila padang kriket siap seperti Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Kejohanan Perisai Raja-Raja serta World Cricket League Division 4.

Serentak dengan majlis perasmian oval ini diadakan juga perlawanan persahabatan di antara pasukan kriket UKM dan Sime Darby Plantation Berhad.

Majlis perasmian diserikan dengan upacara menandatangani plak perasmian, lawatan padang dan bangunan oval serta penyampaian saguhati kepada para peserta perlawanan persahabatan.

- Advertisement -