Tiga wakil negara yang terdiri daripada dua gandingan bergu campuran dan perseorangan lelaki meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Daihatsu Indonesia Masters 2019.

Mengetuai cabaran negara, gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mengatasi pasangan dari England Ben Lane-Jessica Pugh.

Turun dengan status pilihan keenam, Peng Soon dan Liu Ying tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan straight set 21-13, 21-10 dalam masa 31 minit dan akan berdepan satu lagi gandingan England, Marcus Ellis-Lauren Smith untuk memburu slot ke separuh akhir.

Mengikuti jejak pemenang pingat perak sukan Olimpik 2016, satu lagi pasangan bergu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang melakar kejutan ke atas pilihan ketujuh dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Bergu negara bagaimanapun tidak diberi laluan mudah apabila tumpas di set kedua 23-21 selepas melakar kemenangan 21-19 di set pertama.

Soon Huat dan Shevon ternyata berada dikelas tersendiri sekaligus mengatasi Chris dan Gabrielle di set penentuan untuk menang 21-7 sekaligus melangkah ke suku akhir.

Tugas getir menanti gandingan Malaysia ini apabila dijadual berdepan pilihan pertama, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China yang menang ke atas Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-16, 21-12.

Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melengkapkan senarai tiga wakil negara ke suku akhir selepas menundukkan Sitthokom Thammasin dari Thailand 21-13, 21-13.

Zii Jia akan berdepan Anders Antonsen dari Denmark yang menang ke atas pemain tuan rumah, Shesar Hiren Rhustavito. 

- Advertisement -