Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit tanpa berselindung merakamkan penghargaan kepada Malaysia Football League (MFL) kerana memberikan wakil Utara itu peluang bermain di Liga Perdana yang bakal membuka tirai pada bulan depan.

Justeru, Amizal mendedahkan PFA serius mahu memanfaatkan peluang itu dengan segera menyelesaikan masalah-masalah berbangkit antaranya tunggakan gaji bekas pemain-pemain Perlis.

Jelasnya, syarat MFL yang mahu menyekat geran tahunan PFA selagi tidak menyelesaikan semua masalah persatuan tersebut menguatkan lagi kesungguhan pengurusan PFA untuk mengambil langkah wajar di dalam memastikan penyertaan skuad Singa Utara tidak terganggu.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana bagi peluang kepada Perlis untuk bermain di Liga Perdana.

“Selepas kongres, kita telah berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain lama.

“Jadi apabila MFL menahan geran tahunan Perlis tidak membuatkan kami rasa kurang senang yang mana kami sebenarnya dalam proses menyelesaikan masalah itu.

“Jadi apabila MFL meletakkan syarat menahan geran tahunan (sehingga menyelesaikan tunggakan gaji) kita tidak mahu mengalah dan lari daripada masalah,” katanya selepas taklimat MFL di Johor Bharu, Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Amizal mendedahkan pasukannya tidak akan sesekali tertekan biarpun penyertaan mereka dalam saingan Liga Perdana seakan-akan tidak direstui oleh segelintir pihak.

“Kita baharu melakukan proses transformasi, jadi boleh dianggap sebagai pasukan baharu. Jadi, keseluruhan pemain juga dianggap sebagai pemain baharu.

“Misi kami seterusnya adalah mahu layak ke Liga Super musim depan. Tiada tekanan sebab bagi saya Perlis adalah satu pasukan yang baharu bermula.

“Jadi, kita menghormati kesemua pesaing-pesaing kita dalam Liga Perdana dan kita bermula daripada kosong tetapi Perlis juga sedia buktikan bahawa kita memang layak untuk bermain di Liga Perdana dan kemudiannya mahu kembali ke kancah Liga Super selepas 2011,” katanya.

Sebagai rekod, Perlis bersama-sama Terengganu FC II dipilih untuk melengkapkan senarai akhir 12 pasukan Liga Premier pada bulan lalu oleh MFL.

Tatkala pemilihan TFC II tidak banyak mengundang persoalan, pemilihan Perlis pula mencetus perdebatan hebat memandangkan pasukan itu bukan sahaja menanggung hutang tunggakan gaji jutaan ringgit tetapi mereka juga tidak layak secara merit apabila menduduki tangga tercorot Kumpulan B Piala FAM 2018.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -