Presiden Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Siti Zubaidah Abdul Jabar mendedahkan saranan serta khidmat nasihat yang diberikan oleh Malaysia Football League (MFL) telah menambah keyakinannya membimbing pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.

Lebih tepat, Siti Zubaidah menegaskan kaum hawa tidak perlu rasa takut untuk menunjukkan minat membimbing biarpun majoriti pemimpin bola sepak umumnya lahir daripada kalangan lelaki.

Selepas dilantik menjadi presiden kelab bola sepak itu pada 2014, Siti Zubaidah, 57, mengakui beliau tidak lagi melihat ke belakang biarpun mendedahkan rasa terkejut apabila tidak memiliki pengalaman serta pengetahuan luas dalam sukan nombor satu negara itu.

Kini, Siti Zubaidah menggesa lebih ramai lagi kaum hawa yang memiliki minat mendalam terhadap sukan bola sepak perlu tampil ke depan yang mana beliau percaya pemimpin wanita juga mampu memiliki kualiti tersendiri.

“Kita boleh lihat peranan kaum hawa dalam bola sepak Malaysia zaman kini yang mana kita sebagai wanita tidak lagi hanya di belakang tabir.

“Saya masih ingat lagi ketika saya dilantik sebagai Presiden PKNS, saya agak terkejut kerana saya tidak tahu banyak dalam bola sepak negara.

“Pada tahun pertama, ada segelintir pihak boleh cuba ‘goreng’ saya tetapi kini dengan khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh MFL, saya sudah yakin dan berani bahawa pemimpin wanita mampu berikan impak kepada bola sepak tempatan.

“Impian saya adalah saya mahu melihat akan lebih ramai lagi kaum hawa yang menunjukkan minat mendalam terhadap sukan bola sepak Malaysia akan tampil ke depan menjadi pemimpin.

“Nasihat saya kepada mereka jangan takut kerana MFL sentiasa bersama-sama membantu dan memberikan sokongan kepada mereka yang serius untuk membantu bola sepak tempatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Siti Zubaidah turut memuji pendekatan istimewa Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengadakan satu perjumpaan khas bersama wakil pasukan negeri dan kelab bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai segala isu-isu berbangkit di Hotel Thistle, Johor Bharu pada minggu lalu.

“Saya percaya pertemuan ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan MFL dan ahli gabungan yang mana kami sebagai rakan kongsi boleh bertanyakan sesuatu secara terus dan jawapan yang diberikan secara langsung oleh Pengerusi MFL sendiri.

“Seperti saya katakan tadi, kaum hawa tidak perlu lagi rasa takut untuk menjadi pemimpin bola sepak kerana pendekatan yang dibuat oleh Tunku Ismail memberi nafas baru kepada ahli gabungan untuk berani menyuarakan pandangan,” katanya yang turut hadir dalam pertemuan tersebut. MUHD AIMAN 

- Advertisement -