Pihak pengurusan Terengganu City FC yang dikritik hebat berikutan masalah tunggakan gaji anggota skuad itu, tampil menyatakan kesediaan menoktahkan kemelut tersebut namun meletakkan dua syarat untuk dituruti oleh pengurusan lama pasukan itu dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pertamanya, pengurusan baru mestilah diberikan kuasa penuh menguruskan pasukan manakala yang keduanya FAM perlu mengembalikan semula hak pasukan itu untuk bermain di Liga Premier memandangkan mereka layak secara merit selaku juara Piala FAM 2018.

“TCFC dinafikan hak bermain di Liga Premier, walaupun kami layak secara automatik, FAM perlu memberi kami peluang, membatalkan sekatan tersebut.

“Bagaimana FAM dan MFL (Malaysia Football League) boleh berunding dan bertolak ansur dengan Perlis, tetapi dengan kami tak boleh sedangkan jumlah hutang mereka lebih besar? Sekarang slot kami telah diambil oleh Perlis.

“Saya juga ingin tegaskan kami (pengurusan baru) tidak berniat menganiaya bekas pemain dan jurulatih, tetapi kami yang mengambil alih kelab itu sejak awal tahun 2018 tidak diberikan kuasa penuh oleh pengurusan lama.

“Jadi, bagaimana kami mahu menguruskan kelab itu secara maksimum, sedangkan sebelum ini pengurusan lama sudah menyerahkan kelab itu kepada barisan pengurusan baru dan kami sudah berbelanja jutaan ringgit,” ujar pengurus pasukan, M Rezal Abu Bakar.

Tambahnya lagi, “Kami sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan lama berkaitan isu itu, tetapi sehingga kini, tidak ada kata putus dan ia menyebabkan pemain menjadi mangsa. Bagi kuasa penuh kepada pengurusan baru dan kesemua tunggakan gaji akan diselesaikan dengan segera.”

Jumlah keseluruhan hutang tunggakan gaji pasukan itu dilaporkan mencecah lebih dari RM1 juta, membabitkan tuntutan daripada bekas pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak menerima gaji di antara tiga ke lima bulan.

Walaupun tidak menerima gaji, pemain-pemain pasukan itu menunjukkan komitmen dan kesungguhan apabila membantu pasukan itu muncul juara Piala FAM pada September tahun lalu dengan menewaskan Selangor United dalam aksi final. MUHD AIMAN 

- Advertisement -