Isu tunggakan gaji selama lapan bulan melanda kem Hanelang FC yang beraksi di Liga FAM 2018 tidak akan timbul sekiranya sebuah syarikat yang mengambil alih pasukan itu, Tulangis Group menunjukkan sikap bertanggungjawab dan tidak lepas tangan.

Justeru, pengurusan lama pasukan itu, iaitu Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) masih berharap agar syarikat tersebut akan tampil ke depan bagi membantu menyelesaikan kemelut tersebut.

Menjelaskan apa yang terjadi, Presiden PBSDHT, Abdullah Sulong berkata, Hanelang FC pada mulanya memang di bawah ‘jagaan’ mereka dan mendapat tajaan kewangan sebanyak RM700,000 setahun daripada kerajaan negeri dari 2014 – 2017 untuk bersaing di Liga FAM.

Tetapi bermula 2018, pengurusan Hanelang FC telah diambil alih oleh Tulangis memandangkan kerajaan negeri sudah tidak mampu membiayai kewangan pasukan tersebut.

“Tulangis menghantar surat menyatakan kesediaan mahu mengurus dan menaja Hanelang FC, dengan jumlah penajaan RM600,000. Kami benarkan kerana kerajaan negeri mengumumkan tidak mampu lagi menguruskan pasukan ini, selain melihat ia sebagai satu peluang untuk pemain meneruskan karier dan pembangunan bakat anak tempatan negeri.

“Selepas penyerahan, semua urusan berkaitan pengurusan, pentadbiran, pengambilan pemain, dan jurulatih semuanya di bawah syarikat tersebut dan kami tidak tahu mengenai perjalanan skuad berkenaan,” kata Abdullah.

Kenyataan Abdullah itu adalah sebagai menjawab keluhan bekas pemain pasukan Hanelang FC yang menuntut pihak PBSDHT tidak berdiam diri dalam isu tunggakan gaji selama lapan bulan sejak Mac tahun lalu sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut dan hidup serba kekurangan.

Malah lebih buruk kemelut tunggakan gaji itu juga menyebabkan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada saingan Piala FAM musim lalu, ketika tinggal hanya satu perlawanan untuk ditamatkan.

Abdullah bagaimanapun menyatakan bahawa tiada sebarang dokumen atau perjanjian pengambilalihan ditandatangani, sebaliknya semuanya dibuat secara lisan sahaja atas dasar percaya.

“Syarikat itu guna nama PBSDHT untuk uruskan pasukan, kita tidak pernah ambil tahu kerana kuasa sudah diserahkan kepada mereka tetapi tiba-tiba meletup isu mengenai gaji pemain tidak dibayar sehingga menyebabkan pasukan ditutup.

“Kami diminta bertanggungjawab sedangkan Tulangis sudah berjanji uruskan semuanya, nampak gaya macam kami dah kena ‘main’ memandangkan perjanjian pun dibuat secara lisan.

“Apapun, kami tidak mahu tuding menuding jari, kita masih harap Tulangis pegang pada janji, duduk semeja dengan pemain dan anggota pasukan lain, berbincang. Kalau tidak boleh bayar sekaligus, bayarlah sikit-sikit untuk meringankan beban pemain.”

“Di pihak kami, bukan tidak mahu tolong, tetapi sekali lagi ia bukan di bawah kami dan kami serahkan kepada mereka (Tulangis) adalah kerana kami tidak lagi mampu tampung kos operasi, dan kalau nak tolong selesaikan jumlahnya bukan sedikit, terlalu besar.”

Difahamkan, jumlah keseluruhan tuntutan membabitkan anggota skuad itu mencecah lebih RM1 juta membabitkan tunggakan selama lapan bulan.

Berdasarkan semakan oleh Sports247, Hanelang FC bertindak lebih kepada pasukan pelengkap sahaja sejak beberapa musim lalu dalam Liga FAM dan beberapa pemain mereka yang menunjukkan potensi pernah diserap ke skuad Terengganu FC dan Terengganu FC II.

Hanya pada 2018 selepas berlaku pengambilalihan, mereka mula merekrut nama-nama besar seperti Zairo Anuar Zailani, Azlan Zainal, Hasmizan Kamarodin, Harris Safwan dan Tuah Iskandar. MUHD AIMAN 

- Advertisement -