Kuala Lumpur (9 Januari 2019): Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia  untuk turun pada saingan Piala Sumbangsih bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Batu Buruk bermula 11 Januari ini selepas kehadiran tiga daripada enam pemain import esok.

Penjaga gol Ireland, David Harte; pemain Australia, Kieran Govers dan Martin Havenga (Belanda) dijangka akan tiba esok manakala dua lagi, Robert Kemperman dan Valentin Verga turut dari Belanda akan tiba sehari kemudian.

Kemperman, Verga and Harte beraksi pada saingan Piala Dunia baru-baru ini di Bhubaneswar, India.
Seorang lagi pemain dari Australia, Timothy James Deavin tiba minggu lalu dan beraksi di Piala Tan Sri P Alagendra.

“Mempunyai senarai pemain penuh pastinya memberi situasi berbeza apabila bertemu pasukan kuat seperti THT. Ia juga memberikan kami peluang untuk melakukan pertukaran pemain. Kami tidak boleh melakukannya pada saingan Piala Alagendra kerana hanya mempunyai 14 pemain saja,” kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

“Ia pasti amat menarik. David Harte di posisi penjaga gol dan dia pernah beraksi tahun lalu. Govers dan Deavin juga pernah beraksi bersama kami. Jadi sudah ada persefahaman antara mereka.

“Satu-satunya pemain yang baru adalah Havenga yang boleh beraksi di bahagian tengah dan pertahanan. Dalam soal isu menyesuaikan diri dengan faktor cuaca saya sedar ia agak sukar kerana akan mengambil masa. Tetapi barisan pemain ini adalah profesional kerana sudah beraksi di serata dunia,” katanya.

Jelas Arul, setiap pemain cukup bersemangat untuk menghadapi saingan liga selepas tewas 0-3 kepada TNB pada separuh akhir Piala Alagendra.

“Sudah tentu kami kecewa apabila tewas kepada TNB di separuh akhir tetapi kami bertemu pasukan yang dibarisi 10 pemain kebangsaan yang cergas dan pantas.

“Bagi saya saingan Piala Alagendra adalah sebagai sesi pemanas badan bagi memberi peluang kepada pemain tempatan menghadapi situasi sukar,” katanya. 

- Advertisement -