Hasrat bergu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mara ke final buat kali kedua berturut turut dalam dua kejohanan tidak kesampaian apabila tumpas kepada pilihan pertama Yuta Watanabe-Arisa Higashino di Perodua Malaysia Masters hari ini.

Peng Soon, Liu Ying  mengharapkan momentum yang sama mampu dikekalkan ketika menundukkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie di pentas suku akhir semalam. 

Namun, mereka seakan akan hilang fokus dan keyakinan dan Peng Soon-Liu Ying banyak melakukan unforce error yang memberi mata mudah kepada lawan.

Smash yang tersangkut di jaring, kawalan gelanggang yang agak lemah tampak membuka ruang kepada Watanabe dan Higashino untuk mematikan permainan dengan pantas sekaligus menang di set pertama dengan kemenangan 21-15.

Cerita di set kedua sedikit berbeza diawal permainan apabila Peng Soon dan Liu Ying yang juga pemenang Thailand Masters minggu lalu mempamer keyakinan dan mendahului 11-2 pada satu ketika.

Manakala Watanabe dan Higashino pula lebih banyak melakukan kesilapan mudah dan bergelut untuk mengawal permainan.

Set kedua dikuasai Peng Soon dan Liu Ying yang menang 21-7 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.

Hasrat untuk menguasai set ketiga tampak tidak kesampaian. Meskipun mendahului diawal, kesilapan demi kesilapan dilakukan Peng Soon-Liu Ying malah gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk meraih mata.

Yuta Watanabe-Arisa Higashino terus tenang dan mengawal permainan untuk terus memberi tekanan ke atas Peng Soon-Liu Ying sekaligus mengesahkan slot final selepas bertarung selama 53 minit dengan keputusan 21-15, 7-21, 21-14. 

Watanabe-Higashino akan berdepan pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang menang ke atas gandingan Robin Tabeling-Selena Piek 21-19, 21-14.

Komen Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas perlawanan 

 

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying akur dengan keputusan bekas majikannya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung permintaan mereka untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Peng Soon dan Liu Ying serta bergu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih belum memutuskan venue latihan mereka sebelum mneyertai terbuka Indonesia.

Dalam pada itu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadi wakil Malaysia yang keempat gagal ke final selepas tewas di peringkat separuh akhir.

Berdepan pilihan pertama kejohanan, Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukalmujo, V Shem dan Wee Kiong ternyata bukan lawan mereka.

Markus dan Kevin yang memegang status sebagai bergu lelaki nombor satu dunia cukup tangkas di depan jaring serta corak permainan yang pantas dan berjaya memperdaya V Shem-Wee Kiong untuk memastikan slot final milik mereka dengan kemenangan straight set 21-18, 24-22.

- Advertisement -