Spekulasi bertiup kencang mengatakan skuad Liga Premier Kelantan semakin hampir untuk mendapatkan khidnat dua bekas pemain Harimau Muda, Zamir Selamat dan Izzaq Faris Ramlan.

Kelibat dua pemain itu disaksikan di kem latihan pra-musim The Red Warriors namun setakat ini belum ada pengesahan atau pengumuman rasmi dibuat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berhubung status dua pemain itu.

Sebagai rekod, Zamir menganggotai skuad Harimau Muda dari tahun 2008 – 2012 dan dia membawa bersama pengalaman luas ke Kota Bharu di mana pemain kelahiran Kuala Lumpur ini pernah turut menyarung jersi Johor Darul Takzim, Perak dan PKNS FC.

Pada musim lalu dia beraksi bersama Melaka United namun kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama berikutan kehadiran penjaga gol nombor satu negara Khairul Fahmi Che Mat.

Dengan Melaka United telah mendapatkan khidmat bekas penjaga gol Hong Kong Rangers FC, Oscar Wong Tse Yang (anak kepada legenda bolasepak negara Wong Kam Fook) bagi musim 2019, membuatkan Zamir angkat kaki mencari angin baru.

Kehadiran Zamir sudah tentunya suntikan terbaik buat The Red Warriors yang tidak mempunyai pemain berpengalaman di posisi penjaga gol setelah kontrak Shahrizan Ismail tidak disambung manakala Faridzuean Kamarudin pula membuat keputusan menyertai Kuala Lumpur.

Sebagai pengganti, mereka telah merekrut bekas penjaga gol kelab Yala United, Abdul Arif Abdullah dan juga Saufi Muhammad (Kuantan FA) namun kedua-duanya dilihat perlukan lebih minit bermain untuk tampil lebih yakin.

Izzaq Faris pula masih diingati sebagai salah seorang anggota skuad pemenang pingat emas di Sukan SEA Palembang 2011 – dia menjaringkan dua gol di temasya tersebut termasuklah jaringan kemenangan popular ke atas Thailand.

Perjalanan karier pemain tinggi lampai berusia 29 tahun ini bagaimanapun tidak seindah diharapkan dek kerana dibelenggu kecederaan berulang sekaligus menyaksikan namanya hilang begitu sahaja dari radar bolasepak Malaysia dan penyertaannya bersama pasukan-pasukan seperti Terengganu, T-Team dan Melaka United tidak lebih daripada sekadar pelengkap skuad.

Hanya pada tahun lalu dia benar-benar membuat ‘comeback’ apabila membantu Terengganu City muncul juara Piala FAM. Namun dek masalah kewangan dan pengurusan, pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia 2019 membuatkan Izzaq Faris mencari pasukan baru.

Dengan Kelantan mempertaruhkan skuad sebahagian besarnya terdiri daripada pemain muda, kehadiran Izzaq Faris mungkin boleh menyuntik elemen pengalaman dan seandainya pemain ini dapat menyerlahkan aksi terbaiknya tanpa diganggu masalah kecederaan, dia akan menjadi rekrut yang cukup berbaloi buat Kelantan yang diketahui akan beroperasi dengan bajet terhad.

- Advertisement -