foto – Northern Lions Perlis

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengakui segala kemelut melanda persatuan itu berpunca daripada kesilapan mereka sendiri, justeru meminta orang ramai tidak menyalahkan Malaysia Football League (MFL) yang memberikan mereka kebenaran untuk bertanding di Liga Premier.

Sebagai rekod, Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang kini dikenali sebagai PJ City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super berikutan penarikan diri Felcra FC.

Mereka dipilih mengetepikan ATM FA dan Kuching FA berdasarkan dokumen perancangan pasukan termasuk aspek kewangan, dan keputusan itu nyata menimbulkan pertikaian ramai peminat dan pemerhati bolasepak tempatan yang menganggap MFL telah membuat kesilapan besar dengan membenarkan pasukan itu bertanding. 

“Ini masalah PFA sendiri apabila perancangan yang kami susun tak ikut perancangan asal. Keputusan MFL naikkan Perlis ke Liga Premier tak salah ia keputusan tepat ketika itu, masa itu memang kita ada perancangan yang jelas dan tersusun.

“Tapi malangnya benda impak negatif (tunggakan gaji) itu timbul selepas MFL menaikkan Perlis ke Liga Premier, jadi bila impak negatif itu berlaku ia merosakkan segala perancangan,” katanya.

Disebabkan masalah kewangan dan tunggakan gaji yang semakin memuncak, pelbagai spekulasi kedengaran mengenai masa depan pasukan itu malah ramai pemain berprofil tinggi seperti Safee Sali, Badhri Radzi, Azmi Muslim dan Shahril Shaari dilaporkan sedang mempertimbangkan mahu meninggalkan pasukan.

Dalam pada itu, Amizal menyatakan kesediaan untuk menyerahkan segala bukti dokumen kedudukan kewangan mereka sebelum 15 Februari ini seperti yang diarahkan oleh MFL.

Beliau berkata, tempoh lebih kurang seminggu itu cukup untuk mereka melengkapkan segala dokumen yang diperlukan itu.

“Tiada masalah, kami akan hantar segala dokumen berkenaan kewangan pasukan Perlis sebelum 15 Februari ini. Sememangnya MFL sentiasa berhubung dengan kami untuk mengikuti perkembangan pasukan dan tidak ada masalah untuk mematuhi segala arahan MFL,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -