foto – Northern Lions Perlis

 

Walaupun mereka ‘ditendang’ keluar dari saingan Liga Malaysia musim ini atas kesalahan sendiri, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) seolah tiada rasa malu dan tiada sedikitpun rasa bersalah apabila menyatakan rasa terkejut dengan tindakan tersebut yang dianggap tidak adil.

Justeru itu, Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata dia berhasrat untuk bertemu Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan situasi sebenar pasukan itu.

Menurut Amizal, pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor itu diharap dapat memberikan sinar buat skuad Singa Utara bagi membuat kemunculan kembali di Liga Premier musim ini.

Katanya lagi, PFA telah menyerahkan permohonan rasmi untuk membuat rayuan kepada MFL pada Rabu tetapi berpendapat pertemuan dengan Tunku Ismail adalah jalan lebih baik bagi menjelaskan perancangan sebenar revolusi Perlis kepada baginda.

“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (penyertaan Perlis dibatalkan dari Liga Malaysia) kerana kita sebenarnya telah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Premier musim ini kepada MFL.

“Perlis telah memberikan komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat apa seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaannya dari Liga Malaysia tahun lalu.

“Saya telah menghantar rayuan kepada MFL tetapi dalam masa yang sama, saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Terdahulu, MFL pada Rabu menerusi Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara telah bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuatkuasa serta merta.

Ia dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA pada 18 Februari lalu, dan berdasarkan dokumen kewangan berkenaan didapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Sebagai rekod, Perlis mendapat slot untuk beraksi dalam Liga Premier sebagai pengganti kepada MIFA dan pemilihan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan.

Selain itu, PFA dan MFL juga telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji musim lalu manakala geran tahunan mereka pula disekat sebagai ‘cagaran’. MUHD AIMAN 

- Advertisement -