foto – JOHOR Southern Tigers

 

 

Penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Diogo Luis Santo nampaknya sudah bersedia untuk diturunkan di
dalam kesebelasan utama, selepas sekadar membuat penampilan pada 15 minit terakhir ketika aksi
pembukaan Liga Super 2019 menentang Perak pada Sabtu lalu.

Begitupun bekas penyerang Buriram itu menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih Benjamin
Mora untuk membuat keputusan, tatkala JDT menanti kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Larkin pada
Jumaat ini.

“Sebelum ini saya belum cergas sepenuhnya, baru pulih dari kecederaan tetapi kini saya lebih bersedia
untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, tetapi ianya terletak kepada keputusan jurulatih (Benjamin
Mora). Saya akan sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat terbaik setiap kali diturunkan,” ujarnya.

Dalam aksi yang juga merupakan perlawanan sumbangsih berlangsung di Stadium Larkin itu, Diogo yang
dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik di Asia Tenggara kerana menjaringkan lebih 100 gol
dalam tiga musim bersama Buriram, dimasukkan pada minit ke-79 menggantikan Shafiq Ahmad.

Walaupun tidak banyak yang boleh dilakukan, pemain kelahiran Brazil itu tetap berpuas hati dengan
sumbangannya serta kejayaan menjulang Piala Sumbangsih 2019 pada penampilan pertama.

Kejayaan itu membuatkan Diogo terus bersemangat untuk melakar lebih banyak kejayaan buat Harimau
Selatan termasuk mempertahankan trofi Liga Super buat kali keenam berturut-turut pada musim ini.

“Saya gembira kerana JDT dapat mempertahankan trofi yang dimenangi pada musim lalu selain dapat
bermain dalam kejayaan yang cukup manis ini. Apapun perjalanan kami masih jauh dan JDT harus
sentiasa memandang ke depan dan sudah pasti kami akan bersedia untuk berdepan segala cabaran
kerana setiap musim rintangan yang kami temui pasti berbeza.

“Namun dalam masa yang sama saya bersyukur JDT dapat memenangi perlawanan (menentang Perak)
dan kejayaan ini harus dijadikan inspirasi buat kami semua dalam mengharungi Liga Malaysia musim
ini,” katanya.

Sebagai rekod, Diogo menyertai JDT pada bulan lalu sebagai menggantikan kekosongan barisan depan
ditinggalkan Fernando Marquez. MUHD AIMAN 

- Advertisement -