Durakovic berterima kasih atas keprihatinan MFL

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/durakovic-berterima-kasih-atas-keprihatinan-mfl">
Twitter
Pinterest

foto – AFC

 

 

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berterima kasih kepada Malaysian Football League (MFL) kerana meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menunda aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada Jumaat.

Durakovisc berkata keprihatinan MFL sangatlah dihargai memandangkan Perak perlu membuat persiapan rapi bagi berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Selasa depan.

Selain itu menurutnya, penundaan jadual perlawanan ini mustahak kepada Perak memandangkan mereka perlu mengharungi satu hari perjalanan ke Ulsan selain pemain begitu kepenatan selepas beraksi selama 120 minit menentang Kitchee, Selasa lalu.

“Saya cukup risau bagaimana kami akan bertemu Kuala Lumpur bila lihat keadaan pemain turun jalani latihan pada pagi ini kerana belum cergas selain hanya beri tumpuan proses pemulihan semata-mata.

“Jadi, sebaik ketahui berita ini (tunda perlawanan), saya ucapkan syukur dan ini merupakan satu berita gembira bukan sahaja buat saya tetapi seluruh pemain.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MFL kerana sudi beri kelonggaran kepada Perak selain persetujuan pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA) serta pihak-pihak lain yang sudi membantu.

“Perlawanan dengan Ulsan Hyundai ini amat besar ertinya buat Perak kerana kami juga mahu ikut jejak langkah JDT (Johor Darul Ta’zim) bermain di pentas Liga Juara-Juara Asia, ” katanya.

Pada perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL di Ipoh, Selasa lalu, Perak berjaya mengalahkan kelab Hong Kong, Kitchee SC menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa tambahan.

PAFA selepas itu telah membuat permohonan kepada MFL bagi meminda perlawanan ketiga Liga Super bertemu Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat.

Namun, demi kepentingan bola sepak kebangsaan memandangkan Perak membawa nama negara di pentas ACL, perlawanan itu akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Mehmet berjanji tidak akan mensia-siakan ruang diberikan oleh MFL dengan menuntut aksi terbaik pasukannya apabila berdepan Ulsan Hyundai.

Walaupun sedar juara Liga Juara-Juara Asia tahun 2012 itu hadir dengan reputasi tinggi, itu tidak menggentarkan Mehmet yang mahu pemain-pemainnya berikan tentangan sengit.

“Lawan kami sememangnya antara yang terbaik di Asia malah mereka saya difahamkan mereka punyai 48 pemain berdaftar, satu jumlah cukup besar hendak dibandingkan dengan kami.

“Namun, dengan situasi terbaharu ini, saya yakin boleh turunkan semua pemain terbaik yang saya ada ketika di Ulsan nanti, ” katanya. MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0