Felda United perlu melunaskan tunggakan gaji lebih RM 1 juta melibatkan enam pemain pasukan itu selepas diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM  pada 1 Februari lepas.

Menerusi kenyataan media hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub mengesahkan Felda United perlu membayar tunggakan  gaji berjumlah RM1,327,918.80 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Jika gagal berbuat demikian berdasarkan tempoh yang telah ditetapkan, hutang tersebut akan diselesaikan menerusi  sebarang deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan Felda United yang masih berbaki di FAM. 

Enam pemain tersebut adalah;  Ahmad Syamim Yahya (RM259,591.20), Mohd Farizal Harun (RM167,491.40), Muhammad Azreen Zulkafali (RM38,930.70), Muhammad Hadin Azman (RM193,000), Muhammad Shukor Adan (RM390,681.90) dan Wan Zack Haikal Wan Nor (RM278,223.60).

Turut sama menerima arahan untuk melunas tunggakan gaji adalah Kelab Liga FAM, Hanelang FC melibatkan  empat bekas pegawainya iaitu Ahmad Yusoff (RM105,000), Muhammad Iftiqar Ahmad Termizi (RM27,000), Syed Azla Syed Muhamad (RM30,000), Tengku Alias Tengku Ibrahim (RM48,000), serta tunggakan gaji sebanyak RM14,000 kepada bekas pemain pasukan itu, Reeshafiq Alwi .

Satu lagi pasukan yang berpengkalan di Terengganu Terengganu City FC yang juga Juara Piala FAM 2018, perlu menjelaskan tunggakan gaji sebanyak RM191,000 kepada 10 pemainnya.

Pasukan berkenaan dilaporkan masih gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada Mohamad Zahier Abu Sahit sebanyak RM12,000; Jasmir Mehat dan Lee Yong Cheng (masing-masing RM16,000); Rusmanizam Roseland (RM18,000); Mohd Dzaiddin Zainuddin; Mohd Hafiszuan Salehuddin dan Shafuan Adli Shaari (masing-masing RM20,000); Reeshafiq Alwi (RM21,000); Mohd Rahizi Mohd Rasib dan Muhammad Sabri Adam (masing-masing RM24,000).

FAM turut meminta pasukan berkenaan untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM42,000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan tunggakan elaun perumahan sebanyak RM6,000 kepada bekas jurulatihnya, Anuar Jusoh dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula diarahkan menjelaskan tunggakan gaji masing-masing sebanyak RM24,000 kepada dua bekas pemainnya iaitu Hazrol Ahamed dan Mohammad Fazil Abd Rahim selain tunggakan sebanyak RM42,000 kepada bekas penolong jurulatih, Muhammad Khalid Jamlus.

Mohd Joehari berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pula diarahkan melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM23,000 kepada Famirul Asraf Sayuti dan sebanyak RM29,000 kepada Mohd Alafi Mahmud.

Kuantan FA pula diarahkan untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM39,600 kepada bekas pemainnya, Mohammad Fazil Abd Rahim.

 

- Advertisement -