Pelumba KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah nyata kecewa dengan catatan masa yang dilakukannya pada hari kedua sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Losail, pada Isnin.

Hafizh sekadar mencatatkan masa terbaik 1 minit 56.983 saat untuk berada di kedudukan ke 23 selepas melakukan 42 pusingan.

 “Secara jujurnya, sedikit kecewa dengan diri sendiri kerana saya menjangkakan lebih dan seakan-akan ada sesuatu yang menghalang kami (KTM Tech 3) daripada melakukan langkah yang lebih besar,” ujarnya di laman sesawang rasmi milik pasukannya.

Pelumba dari Malaysia itu bagaimanapun berjaya memperbaiki catatan masa terbaik yang dilakukannya di hari pertama walaupun masih ketinggalan agak jauh dengan pendahulu saingan dan juga kelompok hadapan dengan perbezaan lebih dua saat.

“Semuanya bertambah baik, tetapi kami masih sedikit ketinggalan. Ianya hari yang sangat sukar. Kami banyak melakukan perubahan untuk memperbaiki keadaan saya ketika brek, terutamanya di bahagian hadapan motosikal.

“Untuk bahagian belakang pula kami hanya mencuba tayar jenis lembut. Kami akan tetap bekerja keras dan cuba untuk lebih memahami lebih banyak perkara,” tambahnya.

Walaupun masih belum menemui rentak sebenar seperti yang ditunjukkan sewaktu bersama jentera Yamaha pada musim lalu, Hafizh Syahrin dilihat tidak berputus asa dan yakin mampu untuk melakukan sesuatu pada hari terakhir ujian sebelum musim baru bermula minggu hadapan.

Terdahulu dalam sesi kedua yang berlangsung pada waktu malam di Abu Dhabi, kesemua pasukan ‘factory’ berjaya mencatatkan masa yang hampir sama dan kesemua jentera dilihat sangat kompetitif.

Jika hari pertama Maverick Vinales dan jentera Yamaha M1-nya berjaya mengungguli catatan masa terbaik, hari kedua pula menyaksikan pelumba Suzuki ECSTAR, Alex Rins pula berjaya menjadi yang terpantas dengan catatan masa 1 minit 54.593 saat.

Mengekori rapat Rins di belakang adalah dua pelumba Yamaha, Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) dan juga Fabio Quartaro (Petronas Yamaha SRT) dengan perbezaan di bawah satu saat.

Ducati juga turut tidak ketinggalan apabila pelumba baru mereka, Danilo Petrucci turut melakukan catatan masa 1 minit 54 saat untuk berada di kedudukan ke empat sambil diikuti oleh juara dunia musim lalu dari Repsol Honda, Marc Marquez di kedudukan ke lima terpantas.

Rakan sepasukan Hafizh Syahrin, Miguel Oliveira pula berada di kedudukan ke 21 keseluruhan manakala Pol Espargaro menjadi pelumba tunggal daripada KTM yang berjaya menyertai kelompok hadapan apabila berjaya menduduki kedudukan ke 10 terbaik selepas melakukan 44 pusingan.

- Advertisement -