Jangan harap MFL bagi geran tahunan selagi tak selesai hutang

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/jangan-harap-mfl-bagi-geran-tahunan-selagi-tak-selesai-hutang">
Twitter
Pinterest

foto – Malaysian Football League

 

Jika ada pasukan yang bercadang mahu menggunakan geran tahunan daripada Malaysian Football League (MFL) untuk selesaikan kemelut tunggakan gaji, lupakan sahaja hasrat itu.

Ini kerana MFL tidak akan mengagihkan atau dalam kata lain menyekat pemberian geran tahunan selagi hutang lampau dan tunggakan gaji tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, tindakan itu terpaksa diambil bagi menghentikan ‘budaya’ pasukan-pasukan Liga Malaysia yang mahu menggunakan kesempatan menggunakan geran tahunan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Jelas Kevin, krisis kewangan pasukan itu tidak akan selesai jika mereka hanya bergantung kepada geran tahunan yang mana mereka sepatutnya mencari jalan penyelesaian menerusi kewangan pasukan itu sendiri.

“Kepada mereka yang menunggu geran tahunan daripada MFL untuk menyelesaikan hutang pemain boleh tunggu sampai bila-bila. Untuk pengetahuan, geran tahunan ini adalah bagi musim 2019.

“Jika kami memberikan geran tahunan ini kepada pasukan terlibat (dengan masalah tunggakan gaji) kemudian mereka menggunakan geran tahunan ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka pada tahun lalu, apa yang akan berlaku pula untuk musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai. Malah, kita hanya mengalami kitaran sama sahaja. Perkara ini harus dihentikan. Mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberikan geran tahunan bagi musim 2019 kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Kevin memberitahu antara tindakan susulan yang akan diambil kepada pasukan-pasukan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji adalah pemotongan mata liga atau penyingkiran ke divisyen liga lebih bawah namun ia perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum sebarang keputusan muktamad.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia. Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL,” katanya. MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0