Keluar kata kesat, MFL maafkan Dollah Salleh

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/keluar-kata-kesat-mfl-maafkan-dollah-salleh">
Twitter
Pinterest

Malaysian Football League (MFL) tidak bercadang untuk memanjangkan isu ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh mengeluarkan kata kesat selepas tamat aksi Liga Super menentang Melaka pada Jumaat, kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, Dollah akan diberikan peringatan agar tidak mengulangi tindakan seumpama itu.

Sebagai rekod, Dollah dilihat mencarut kepada Zainal Abidin Hassan selepas tamat aksi di Stadium Hang Jebat itu yang berkesudahan dengan seri 1-1 dengan Melaka berjaya mendapatkan gol penyamaan lewat permainan menerusi sepakan penalty Safiq Rahim.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, “Dollah  mungkin kecewa kerana keputusan tidak seperti yang diharapkan dan insiden sepakan penalti itu berlaku sebelum perlawanan berakhir. Sekiranya kejadian itu berlaku lebih awal dalam permainan maka mungkin beliau akan kurang beremosi pada akhir perlawanan.

“Kita perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.

“Untuk kes ini MFL akan memberi peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung.

“Kami tidak akan meneruskan (menyerahkan laporan rasmi berhubung isu Dollah) kejadian itu kepada FAM untuk tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Kevin berharap insiden ini akan memberikan peringatan bukan sahaja kepada Dollah tetapi semua jurulatih khususnya pasukan dari Liga Super yang mana kesemua perlawanan kini disiarkan secara langsung menerusi platform iflix.

Ini kerana, MFL tetap memandang serius terhadap isu ini di mana bermula Mac depan badan pentadbir Liga Malaysia itu akan lebih tegas selepas kesemua jurulatih dan pegawai sudah diberikan peringatan mengenai perkara ini.

“Seperti saya katakan tadi, Dollah adalah seorang bekas pemain bola sepak dan jurulatih yang memiliki reputasi baik jadi saya harap bukan beliau saja malah jurulatih lain supaya lebih berhati-hati dalam apa saja tindakan di dalam dan selepas perlawanan kerana kita tahu bola sepak adalah permainan melibatkan emosi.

“Kita akan lebih tegas selepas ini apabila semua pihak khususnya jurulatih sudah diberikan peringatan dan sedar implikasi yang bakal diterima,” ujar Kevin. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0