Penantian selama sembilan tahun Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia buat kali pertama mungkin bakal tercapai esok di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj yang melakukan penampilan pertama pada 2011, belum pernah tewas dalam 10 perlawanan dan hanya sekali seri 2-2 ketika bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT). 

Kemenangan ke atas Maybank esok akan menyaksikan UniKL mengesahkan kejuaraan liga. Di pusingan pertama liga, UniKL menang 5-1 melalui jaringan Martijn Havenga (28 dan 39 minit), Muhammad Marhan Mohd Jalil (11 minit), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (52 minit) dan Robbert Kemperman (60 minit).

“Kami sudah berada ditahap di mana kemenangan ke atas Maybank akan mengesahkan kami untuk memenangi kejuaraan liga meskipun kami masih mempunyai satu lagi baki perlawanan bertemu TNB Thunderbolts pada Jumaat,” kata Arul.

“Secara jujur kami tidak mahu memikirkan soal kejuaraan liga. Ia pasti akan dapat dicapai sekiranya kami memperoleh keputusan yang baik. Fokus kami tetap sama seperti perlawanan lain iaitu beraksi dengan bijak selain memperbaiki taktikal perlawanan dan set piece.

“Kami juga tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lain. Kami menghormati semua pasukan. Maybank membuktikan bahawa mereka mampu beraksi dengan baik apabila berjaya meraih lima kemenangan liga setakat ini. Jadi saya jangkakan cabaran sengit daripada Maybank esok,” katanya.

Juara Piala TNB musim lalu itu menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 28 mata, satu mata mengatasi TNB dan sembilan mata mendahului THT.

Dibarisi pemain ternama dunia seperti Kemperman, Havenga, Valentin Verga dari Belanda, Kieran Ian Govers dan Timothy Deavins (Australia),  penjaga gol, David Harte (Ireland) dan pemain kebangsaan, Marhan, Muhammad Razie Abdul Rahim serta Mohamad Sukri Abdul Mutalib, UniKL mendominasi saingan liga sejak bulan lalu.

 

- Advertisement -