Hasrat skuad bola sepak Bawah 22 negara untuk meraih kemenangan pertama tidak kesampaian selepas terikat dua sama dengan Indonesia dalam aksi kedua kumpulan B, Kejuaraan B-22 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Nasional Olimpik di Phnom Penh, Kemboja, petang tadi.

Selepas tewas kepada tuan rumah, Kemboja dalam aksi pembukaan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu menang untuk menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Aksi longlai terus dijelmakan skuad negara dan ia dihukum Indonesia di babak kedua perlawanan menerusi penyudah Marinus Wanewar di minit 52.

Semangat juang anak didik Ong Kim Swee kembali selepas pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat meledak gol penyamaan sembilan minit kemudian berpunca daripada sepakan percuma.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Indonesia kembali didepan di minit 76 menerusi Wutan Sulaeman.

Nik Akif terus menjadi arkitek apabila sepakan sudutnya disudahkan dengan kemas penyerang negara,  Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk mengikat kedudukan dua sama empat minit menuju penamat.

Malaysia bagaimanapun kekal ditangga terbawah kumpulan B dengan satu mata manakala Indonesia ditangga kedua dengan dua mata selepas dua keputusan seri.

Malaysia memerlukan ‘keajaiban’ andai mahu ke separuh akhir kerana perlu menang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ke atas Myanmar selain bergantung harap Kemboja menang ke atas Indonesia Jumaat depan.

- Advertisement -