Skuad Futsal Pekak Negara menamatkan Kejohanan Futsal Orang Pekak Asia Pasifik dikedudukan kelima selepas menewaskan China 13-8 pada penentuan kelima/keenam kejohanan berkenaan di Bangkok, Thailand, semalam.

Kapten pasukan, Mak Chee Weng muncul pemain terbaik negara apabila menyumbat lima gol manakala Muhammed Firdaus Sabudin turut cemerlang dengan empat gol berjaya dilakar sementara Haris Kamarudin menyumbang 3 gol dan  Helmi Mat Sahad turut menyumbang satu gol di minit 20’.

Mengulas mengenai perlawanan ini, Pengurus Pasukan Futsal Orang Pekak Malaysia, Mohd Yusri Abd Ghani menyatakan kemenangan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan buat pasukan meskipun terpaksa mengambil risiko menurunkan pemain yang cedera.

“Rata-rata semua pemain kami mengalami kecederaan termasuk Mak Chee Weng. Beliau mengalami sedikit luka di bahagian lutut semasa menentang Thailand semalam tetapi saya kira, itu semua tidak menjadi halangan kerana saya lihat kesungguhan mereka yang mendorong pasukan ini berjaya,”kata Yusri.

Meskipun persiapan dalam serba kekurangan, Yusri tidak melihat keputusan ini sebagai mengecewakan, malah mengharap ada pihak yang tampil untuk membantu pasukan ini untuk mengharungi kejohanan akan datang.

“Antara cabaran kami di Kejohanan ini ialah latihan yang tidak mencukupi iaitu latihan kami terhad hanya sebulan sebelum menjelangnya kejohanan.

“Hal ini desebabkan kami kekurangan dana bagi menanggung kos latihan yang panjang. Diharapkan ada beberapa pihak yang sudi tampil bagi membantu pasukan ini untuk menjadi lebih kuat untuk menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.”tambahnya lagi

Skuad Malaysia Deaf Tigers akan pulang ke tanah air daripada Bangkok pada 25 Februari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.05 petang. Muhammad Nasrullah Kadiron 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

- Advertisement -