Marhan gesa pemain tingkatkan usaha

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/marhan-gesa-pemain-tingkatkan-usaha">
Twitter
Pinterest

 

Kapten Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Marhan Mohd Jalil menggesa rakan sepasukannya untuk terus bekerja keras apabila juara Piala TNB 2018 itu turun berentap dengan UiTM, esok dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dua hari kemudian dalam aksi pusingan kedua Liga Perdana Hoki Malaysia.

“Kami akan menghadapi dua perlawanan sukar dalam tempoh tiga hari dengan tempoh rehat yang singkat dan saya mahu pemain fokus terhadap pertemuan ini,” kata Marhan satu daripada tiga pemain kebangsaan yang memperkuatkan UniKL pada musim ini bersama Razie Abd Rahim dan Sukri Mutalib.

“Setakat ini pasukan meraih keputusan yang baik. Saya tidak mahu melihat kepada kedudukan liga kerana ia masih terbuka  untuk semua pasukan. Kami masih mempunyai lima perlawanan dengan jurulatih Arul Selvaraj sudah memberi amaran kepada kami supaya tidak lagi keciciran mata,” tambahnya.

“Mesej saya sangat jelas. Kami perlu menyelesaikan tugas ini secepat mungkin, kekal tenang sepanjang perlawanan ini dan kekal fokus sehingga wisel penamat dibunyikan,” kata Marhan.

UniKL ketika ini mengungguli carta dengan 19 mata diekori TNB (18 mata) dan Terengganu Hockey Team (THT) di kedudukan ketiga dengan 13 mata manakala Maybank keempat selepas sekadar mwngutip 12 mata daripada tujuh perlawanan.

UniKL juga akan terus memanfaatkan pengalaman dimiliki trio bintang Belanda, Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga serta Kieran Govers dan Timothy Deavin dari Australia bersama penjaga gol Ireland, David Harte yang setakat ini membawa perbezaan besar dalam usaha pasukan itu meraih kejuaraan sulung liga.

Sebagai rekod, UniKL sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas UiTM dalam pertemuan pertama dengan ketika itu mereka belum menemui keserasian susulan kelewatan tiba beberapa pemain import.

Bagaimanapun, kemenangan lebih meyakinkan dicatatkan sewaktu bertemu TNB apabila mereka memenangi perlawanan berkenaan 3-1 biarpun dipaksa berhempas pulas oleh skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasruddin.

Sementara itu, penyerang UniKL, Faridzul Afiq Mohd mengakui masih dahagakan gol selepas menamatkan kemarau gol ketika mengatasi Nur Insafi 3-1 dalam dua aksi sebelum ini.

“Pencarian gol saya belum berakhir dan masih memburu gol sejak jaringan menentang Nur Insafi. Saya benar-benar berharap dapat menjaringkan gol apabila bertemu UiTM esuk. Dengan gol  dapat meningkatkan motivasi saya,” katanya.

Please follow and like us:
0