foto – Malaysian Football League

Malaysian Football League (MFL) menegaskan mereka sentiasa memberi sokongan teguh kepada mana mana wakil negara yang membuat penampilan di pentas Asia.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Shazli Shaik Mohd menyatakan MFL sentiasa bersedia membantu dari setiap aspek untuk kelab tempatan membuat persiapan mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Kenyataan Shazli itu adalah reaksi kepada kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) telah bahawa MFL telah menolak permohonan untuk meminda perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur bagi membuat persiapan bermain di kelayakan ACL, sedangkan ia sedang dalam pertimbangan.

PAFA bagaimanapun telah membuat permohonan maaf kepada MFL secara terbuka di atas kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, PAFA sebelum ini menyatakan hasrat meminda pertemuan menentang Kuala Lumpur sebagai persiapan terbaik bertemu kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 19 Februari ini selepas menyingkirkan Kitchee FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 selama 120 minit di Stadium Perak, Ipoh pada pusingan kelayakan ACL, Selasa lalu.

Dan dengan mengambil kira agenda bola sepak negara bermain di peringkat antarabangsa, MFL pada Khamis telah mengumumkan perlawanan tersebut akan dipinda kepada tarikh lain selepas perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“MFL mengambil kira jika Perak menang ke atas kelab Korea ini (Ulsan), kita akan melihat dua wakil negara (Perak dan Johor Darul Ta’zim) yang bertanding di ACL.

“Sudah pasti ia akan menjadi satu kejayaan yang cukup besar kepada Liga Malaysia sendiri selain kita akan mendapat mata (ranking) lebih tinggi bagi pasukan-pasukan yang akan bertanding di ACL musim depan.

“MFL sentiasa memberikan sokongan dan menganggap ini adalah satu perkara baik tetapi dalam masa yang sama, pasukan-pasukan juga harus terima dengan setiap peraturan yang ditetapkan.

“Mungkin pada masa akan datang, pasukan-pasukan ini harus berbincang dengan MFL dahulu dan berdasarkan jadual sebelum ini sebenarnya Perak telah mendapat tiga hari sebelum perlawanan (menentang Kuala Lumpur) yang mana itu adalah SOP (prosedur operasi standard) pertandingan AFC,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shazli menegaskan prosedur meminda perlawanan tidak menelan masa singkat sebelum keputusan dibuat seperti yang disangka oleh mana-mana pihak.

“Benar MFL telah menerima permohonan pindaan perlawanan daripada pasukan Perak menentang Kuala Lumpur untuk aksi Liga Super yang sepatutnya berlangsung 15 Februari.

“Kita menerima permohonan itu pada hari Rabu (13 Februari) pada jam 11.10 pagi. Kita harus faham apabila pihak sekretariat untuk membuat semakan dan penilaian terhadap pindaan perlawanan itu akan mengambil masa.

“Daripada sudut itu kita kena menerima bahawa kesemua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia ini adalah rakan kongsi kepada MFL.

“Kita menilai dan membuat semakan tetapi pasukan Perak memiliki asas yang kuat dan pihak sekretariat membuat keputusan untuk menunda perlawanan tersebut,” tambahnya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -