Kem skuad bawah 22 tahun Malaysia yang sedang dalam persiapan untuk aksi pembukaan Kejuaraan B-22 AFF 2019 menentang tuan rumah Kemboja, pada Isnin menerima khabar ceria apabila pemain tengah Nik Akif Syahiran tampak sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan.

Tonggak Kelantan itu sebelum ini diberitakan akan terlepas aksi pertama berikutan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami ketika perlawanan Liga Premier menentang Sabah di Kota Bharu pada 8 Februari lalu.

Ketua jurulatih Dato’ Ong Kim Swee bagaimanapun tetap menyenaraikan Nik Akif dalam skuad ke Phnom Penh dengan harapan dia akan sempat cergas untuk diturunkan sekurang-kurangnya dalam baki aksi, apatah lagi pengendali itu kekurangan pilihan bagi mengisi posisi tengah.

Ia nyata satu percaturan tepat kerana Nik Akif nampaknya kembali cergas tepat pada waktunya dan sudah bersedia untuk diturunkan lebih awal daripada jangkaan.

“Saya sudah bebas dari kecederaan dan jika jurulatih mahu menggunakan khidmat saya seawal perlawanan menentang Kemboja, saya tiada masalah dan sedia mengalas tanggungjawab.

“Apa sekalipun, walaupun kehilangan ramai pemain tonggak terutama bagi posisi tengah, saya percaya ia bukan mudah untuk saya segera memecah masuk ke dalam kesebelasan jadi saya akan bekerja keras untuk membuktikan tahap kecergasan saya sudah di tahap terbaik.

“Saya mahu menjadikan Kejuaraan AFF ini sebagai satu peluang terbaik untuk memupuk keserasian lebih baik bersama rakan sepasukan dan mengukuhkan tempat saya di dalam skuad menjelang pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bulan depan,” ujar Nik Akif.

Selepas Kemboja, Malaysia akan turun menentang Indonesia pada 20 Februari disusuli Myanmar dalam aksi terakhir pada 22 Februari.

Sasaran diletakkan Kim Swee adalah separuh akhir yang dianggapnya sebagai sasaran realistik mengambil kira ketiadaan ramai pemain tonggak.

Antara yang tidak dapat bersama adalah Syahmi Safari, Daniel Amier Norhisham dan Faisal Halim yang tidak mendapat pelepasan manakala Akhyar Rashid, Sapawi Rashid dan Syamer Kutty Abba pula tidak disenaraikan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -