Sebagai jalan penyelesaian kepada isu pelepasan pemain ke kem kebangsaan yang sentiasa menjadi topik hangat, Malaysian Football League (MFL) tampil dengan cadangan untuk memberi keistimewaan kepada pasukan-pasukan yang sudi melepaskan pemain mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, berkata beberapa cadangan termasuk perihal memberi keistimewaan itu akan dikemukakan kepada Ahli Lembaga Pengarah badan pentadbir liga tanah air itu demi kepentingan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Kevin percaya cadangan tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan situasi menang-menang di antara pihak pengurusan pasukan yang merupakan majikan pemain serta skuad kebangsaan baik senior mahupun peringkat umur.

“Buat masa ini, peraturan-peraturan pelepasan pemain memberi keutamaan kepada pasukan senior kebangsaan dan bukan kepada pasukan (muda) tetapi bagaimana MFL pula boleh menyokong pasukan (muda) kebangsaan dalam isu ini, pihak sekretariat diketuai oleh saya mungkin boleh bawa isu ini kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat.

“Mungkin beberapa cadangan yang kemungkinan kita boleh memberikan keistimewaan kepada pasukan-pasukan yang melepaskan pemain mereka.

“Apa keistimewaan itu masih belum dibincangkan lagi dengan Ahli Lembaga Pengarah MFL tetapi mungkin kita boleh ketengahkan satu cadangan jika satu pasukan itu sedia melepaskan pemain, mereka boleh daftar 35 pemain, bukan 30 pemain dalam Liga Malaysia misalnya jika itu memberikan kelebihan kepada sesuatu pasukan.

“Ia hanya cadangan, banyak lagi perkara perlu dibuat dan ia juga memerlukan persetujuan daripada pasukan-pasukan. Keputusan MFL dibuat daripada pasukan-pasukan yang bersama MFL.

“Jika sebilangan besar menyokong dan melepaskan pemain, mungkin cadangan ini boleh diluluskan dan keistimewaan diberikan kepada mana-mana pasukan yang sanggup melepaskan pemain mereka untuk agenda kebangsaan,” katanya.

Tambah Kevin lagi, “Kita tidak boleh memaksa tetapi daripada sudut liga, agenda kebangsaan dan juga kejayaan pasukan kebangsaan adalah satu kejayaan penting buat liga. Ini kerana pasukan kebangsaan berjaya kita pun mendapat sokongan dan minat yang lebih lagi daripada para penyokong, penaja dan sebagainya.”

Kevin ditemui pemberita selepas menandatangani perjanjian penajaan tahun kedua antara MFL dan Shopee di Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad dan Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho. MUHD AIMAN 

- Advertisement -