PFA diminta kemuka bukti kedudukan kewangan kepada MFL

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/pfa-diminta-kemuka-bukti-kedudukan-kewangan-kepada-mfl">
Twitter
Pinterest

foto – Northen Lion Perlis

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) diminta mengemukakan bukti dokumen kedudukan kewangan mereka kepada Malaysian Football League (MFL) pada 15 Februari ini, berikutan masalah kewangan kritikal yang dialami persatuan itu sehingga mengakibatkan tunggakan dua bulan gaji.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam, segala bukti dokumen itu akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL pada tarikh yang sama selain mahu memberikan peluang kepada PFA yang diambil alih pihak pengurusan baru pada musim ini untuk memperbetul keadaan.

“Kita telah membuat susulan dengan PFA dan kita telah memaklumkan kepada PFA sebagai satu peringatan bahawa 15 Februari ini adalah tarikh di mana kita sebagai sekretariat akan mengemukakan laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi mengetahui situasi semasa PFA untuk tindakan susulan.

“Jadi kita bukan sahaja berdepan isu melibatkan PFA tetapi semua pasukan yang mengalami masalah di dalam proses pendaftaran mereka yang berkait dengan kelewatan dengan bayaran-bayaran sepatutnya.

“Untuk makluman, kita sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu-isu dihadapi pasukan yang dikendali pengurusan baru dalam Liga Malaysia,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Amizal Shaifit pada Khamis.

Masa depan skuad Perlis yang tewas 1-2 kepada UKM FC dalam aksi pembukaan Liga Premier pada Ahad lalu, diberitakan dalam keadaan tidak menentu berikutan pengurusan gagal membuat pembayaran gaji sepertimana dijanjikan kepada pemain.

Alasan yang diberi PFA adalah empat penaja utama mereka menarik diri daripada menaja skuad Singa Utara namun apa yang menghairankan adalah Amizal sendiri pernah menyatakan ada dana RM15 juta tersedia tanpa perlu mengharapkan penaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin mendedahkan PFA telah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap masalah yang dihadapi wakil Utara itu.

“PFA telah menjelaskan mengapa kelewatan ini berlaku dan pertemuan ini memberikan satu ruang kepada pihak pengurusan mereka di mana mereka memahami peranan MFL dan mereka menyedari tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh terdekat ini,” tambahnya. MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0