Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada Selasa menghantar rayuan dengan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk memohon dibenarkan kembali bermain di Liga Premier musim 2019.

Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen antaranya surat tajaan, kewangan serta perancangan rapi bagi musim 2019 dan berharap ia dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam membuat pertimbangan mengenai rayuan mereka itu.

“Hari ini kita telah dapat tunaikan janji kita kepada pihak MFL sebagaimana yang diberikan tempoh untuk kita serahkan dokumen-dokumen berkaitan dengan rayuan,” katanya.

MFL pada 20 Februari lalu, membatalkan penyertaan Perlis dalam aksi Liga Premier selepas mendapati skuad Singa Utara itu tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Ditanya mengenai tunggakan gaji pemain bagi musim 2018 dan 2019, Abdul Karim menyifatkan masalah itu akan diselesaikan oleh penaja baharu Perlis andai mereka dibenarkan kembali menyertai Liga Premier.

 

Visual – Malaysia Football League

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Perlis akan menggunakan alternatif lain antara salah satunya menggunakan geran tahunan jika Ahli Lembaga Pengarah MFL mengekalkan keputusan untuk membatalkan penyertaan Perlis.

“Berdasarkan apa yang telah pun kita persetujui bersama penaja dan jika pihak MFL memberi kebenaran untuk kita terus bermain di Liga Premier 2019, Perlis bersama penaja baharu yakin semua tunggakan gaji pemain 2018 dan 2019 akan diselesaikan.

“Sekiranya MFL mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Perlis, kita akan berbincang balik dengan pihak MFL sebab kita terima maklumat baru-baru ini ada peluang untuk kita dapatkan semula geran tahunan daripada MFL dan tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu adalah mahu menyelesaikan tunggakan gaji,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan PFA telah segala mengemukakan dokumen dan proses selanjutnya menyerahkan butiran itu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -