Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Datuk Amizal Shaifit yang hebat dikecam susulan masalah kewangan dan tunggakan gaji sehingga menyebabkan pasukan itu disingkir dari Liga Malaysia, membuat keputusan melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta pada Sabtu.

“Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada penolong setiausaha PFA. Perletakkan jawatan ini dibuat atas desakan penyokong bola sepak Perlis dan rakyat Perlis. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang pernah membantu sepanjang 4 bulan saya sebagai Presiden PFA.

“Saya pohon sejuta kemaafan kepada para peminat dan penyokong bola sepak Perlis atas kegagalan saya memimpin. Saya dah buat yang terbaik demi menaikkan kembali nama Perlis, setakat ini sahaja yang saya mampu,” kata Amizal.

Meskipun menyatakan desakan penyokong sebagai punca letak jawatan, pengunduran Amizal dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusan Mesyuarat Exco PFA pada Sabtu yang menggantung jawatannya sebagai Presiden serta-merta kerana pelanggaran perjanjian penajaan.

Sebagai rekod Amizal dipilih sebagai Presiden PFA yang baru pada bulan Oktober 2018.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PFA, Abdul Karim Khan pula berkata PFA tidak akan sama sekali melepaskan Amizal yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala masalah yang melanda Singa Utara.

Abdul Karim menganggap tindakan Amizal yang melepaskan jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta merta tanpa pengetahuan Exco langsung tidak boleh diterima.

“Kita tidak akan lepaskan dia (Ahmad Amizal) selepas apa yang berlaku terhadap Perlis. Dia perlu selesaikan segala tunggakan gaji pemain, jangan sesekali lepas tangan,” katanya.  MUHD AIMAN

- Advertisement -