Skuad Futsal Orang Pekak Malaysia tidak pulang dengan kehampaan  meskipun menamatkan saingan dikedudukan kelima Kejohanan Futsal Orang Pekak Asia Pasifik 2019 yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru baru ini.

Kapten pasukan, Mak Chee Weng dinobat sebagai penerima anugerah kasut emas, “Men Golden Boot Award” selepas meledak 22 gol sepanjang kejohanan.

Chee Weng mengatasi wakil tuan rumah,  Deenonod Nonthawat yang menjaringkan 19 gol.

Pemain futsal  bagi kontinjen Perak ketika saingan Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Perak tidak menjangkakan bakal menerima anugerah ini.

” Saya tidak menyangka akan memperolehi Anugerah Kasut Emas dan saya berasa sangat bersyukur. Saya ingin mengucapkan terima kasih khasnya kepada jurulatih dan pengurus serta rakan sepasukan yang telah bekerja sama sepanjang kejohanan berlangsung. Tidak lupa juga kepada MSDeaf yang banyak memberi peluang kepada saya untuk sampai ke tahap ini”. Katanya.

 

Malaysia Deaf Tigers (MDT) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.00 petang semalam.

Ketibaan mereka disambut rakan sepasukan dan keluarga serta  Presiden MSDeaf En. Ong Shin Rueen dan Setiusaha Agong MSDeaf, Kamarzaman Harun.

Selain menerima anugerah kasut emas, MDT turut dipilih untuk memenangi anugerah “Fair Play Team”.

Anugerah ini dinilai berdasarkan rekod paling bersih selain disiplin yang tinggi ditunjukkan pasukan sepanjang kejohanan dan Malaysia  hanya menerima 5 kad kuning dan tiada layangan kad merah.

MDT menang tiga perlawanan iaitu menang dua perlawanan di Peringkat Kumpulan A ketika berdepan Indonesia dan Mongolia masing-masing dengan 6-1 dan 24-4, namun tewas ditangan Khazakstan 3-5 dan tumpas kepada tuan rumah, Thailand 3-6.

Malaysia menebus kehampaan selepas melakar kemenangan ke atas China 13-8 dalam perlawanan penentuan tempat kelima / keenam. Muhammad Nasrullah Kadiron 

- Advertisement -