Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terpaksa menerima tentangan sengit daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas lawan mereka itu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Razak, hari ini.

Dengan kemenangan itu, UniKL semakin hampir untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana apabila kekal di tangga teratas dengan 25 mata dan hanya perlu konsisten melakar kemenangan pada baki tiga perlawanan selepas ini.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata pujian wajar diberikan kepada TNB yang memberi tentangan cukup sengit.

“TNB lebih menguasai perlawanan pada separuh masa pertama. Saya fikir ketika itu mereka sangat bekerja keras.  Tapi seperti yang sering saya katakan sebelum ini, kami mempunyai pemain yang tahu bagaimana untuk menang dan perlawanan berubah pada separuh masa kedua.”

“Saya tidak mahu memikirkan soal kemenangan liga lagi sebaliknya hanya mahu mempersiapkan pasukan untuk baki tiga perlawananan selepas ini.

“Apapun pada perlawanan hari ini saya cukup berbangga dengan prestasi beberapa pemain muda seperti Ashran (Hamsani) yang bekerja keras sepanjang perlawanan,” katanya. 

UniKL bermula baik apabila di depan minit ke-10 selepas Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menjaringkan gol padang.
Namun lima minit kemudian penyerang skuad kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil berjaya menyamakan kedudukan untuk TNB selepas melakukan tolakan reverse stick ke penjuru kiri gawang gol UniKL.

TNB terus melakukan asakan bertali arus dan mereka kemudian dihadiahkan pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan oleh Norshafiq Sumantri pada minit ke-20.
 Bersambung separuh masa kedua, momentum perlawanan kedua-dua pasukan agak tegang dengan berlaku beberapa kekasaran.

UniKL akhirnya memperoleh gol penyamaan selepas Muhammad Razie Abd Rahim menolak masuk rendah ke penjuru kanan gawang gol lawan hasil pukulan sudut penalti minit ke-43.

Kieran Govers meletakkan UniKL di depan pada minit ke-47 selepas menjaringkan gol padang.  Asharan mengukuhkan kedudukan UniKL apabila menjaringkan gol keempat menerusi jaringan padang minit ke-55.

 

- Advertisement -