UniKL ratah UiTM

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/unikl-ratah-uitm">
Twitter
Pinterest

 

 

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak berdepan masalah menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila membelasah lawan mereka itu 11-0 hari ini sekali gus kekal di tangga teratas Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia.

Meskipun meraih kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj tetap kurang berpuas hati dengan prestasi pemainnya pada separuh masa pertama.

“Suku pertama dan kedua kita terlalu memberi ruang kepada lawan. Tapi bila bersambung separuh masa kedua segala-galanya berubah. Pemain dapat jaringkan tiga gol pertama dengan pantas dan ia terus mengubah rentak permainan kami.

“Walaupun meraih kemenangan cukup meyakinkan hari ini, bagi saya kejuaraan liga masih belum terjamin menjadi milik kami. Saya tekankan kepada setiap pemain supaya kekal fokus pada setiap perlawanan. Apapun penentuan sebenar sama ada kami dapat memenangi kejuaraan liga adalah bergantung kepada perlawanan bertemu TNB pada Ahad ini,” katanya. 

Berlangsung di Stadium Tengku Abdullah, UniKL mempunyai beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama namun nasib nyata tidak memihak kepada mereka.

Namun segalanya berubah pada separuh masa kedua apabila UniKL memperkemaskan gerakan dan akhirnya mereka memperoleh gol yang ditunggu-tunggu menerusi penyerang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin minit ke-31.

Seminit kemudian, UniKL dihadiahkan pukulan sudut penalti dan ia disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abd Rahim.

UniKL terus memberi tekanan dan kali ini mereka memperoleh gol ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Robbert Kemperman pada minit ke-34.
Muhammad Hafiz Zainol menjadikan kedudukan 4-0 hasil gerakan solo pada minit ke-37. 

Dua minit kemudian, Rafizul Ezry Mustafa menjaringkan gol kelima sebelum Razie menjaringkan gol keenam hasil jaringan padang minit 41.

Tonggak import, Valentin Verga terus menyukarkan UiTM apabila menjaringkan gol ketujuh untuk UniKL minit ke-47 menerusi gol padang sebelum Martin Havenga menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-49. 

Kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil menambah gol kesembilan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-51 sebelum Kemperman meledak gol ke-10 seminit kemudian.

Verga melengkapkan kemenangan bergaya UniKL apabila menjaringkan gol ke-11 minit terakhir perlawanan.

Please follow and like us:
0