Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semakin hampir untuk menamatkan penantian sembilan tahun dalam merangkul gelaran Liga Premier Hoki Malaysia (MHL) selepas menewaskan Nur Insafi 6-1 di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, petang tadi.

Ia adalah kemenangan kesembilan berturut-turut UniKL daripada 10 perlawanan setakat ini dengan satu-satunya keputusan seri hadir dalam aksi pembukaan liga ketika terikat 2-2 dengan Terengganu Hockey Team (THT).

Dengan rekod bersih itu menyaksikan UniKL kini sekadar memerlukan satu kemenangan daripada dua baki aksi terakhir untuk mendakap trofi sulung liga selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengekori rapat satu mata dibelakang sudah beraksi lebih satu perlawanan.

“Hari ini kami turun menggunakan pendekatan lebih tenang dengan pemain saya dilihat beraksi dengan baik,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj. “Dalam dua suku pertama kami tidak terlalu memberi ruang yang bebas buat jentera serangan Nur Insafi bergerak bebas.

“Pemain juga mengikut taktikal seperti diarahkan, malah bahagian tengah serta pertahanan kami juga bijak mengekang dan memotong setiap gerakan pemain lawan selain pukulan sudut penalti yang menjadi.

“Dan ia adalah satu lagi saat indah buat penyerang kami Izwan Firdaus (Ahmad Tajuddin) kerana dia berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan di negeri kelahirannya sendiri.”

Terdahulu, penyerang UniKL, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin nyata memanfaatkan peluang beraksi di stadium yang menjadi tempat awal dia mengasah bakatnya itu apabila meledak jaringan padang seawal minit kelapan.

Pakar pukulan sudut penalti dari Belanda, Martijn Havenga memastikan skuad kendalian Arul Selvaraj menuju ke rehat separuh masa dalam keadaan selesa selepas menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-28.

Hanya seminit berselang suku ketiga, anak kepada pengendali Nur Insafi, Dr Thaitchana Muruhti iaitu Nur Rahul Hrsikesa kembali menghidupkan peluang buat pasukan yang berpangkalan di Sungai Petani itu untuk bangkit melakar kejutan.

Namun, jaringan pukulan sudut penalti pertahanan UniKL, Razie Rahim pada minit ke-41 bagaikan terus membunuh semangat Nur Insafi dan derita mereka makin bertambah apabila tiba giliran penyerang Faridzul Afiq menambah gol keempat UniKL selang tiga minit kemudian.

Kedua-dua pemain itu sekali lagi menambah gol kedua peribadi apabila masing-masing menyumbat gol pada minit ke-51 dan 60 untuk melengkapkan kemenangan bergaya buat UniKL yang tahun lalu sekadar memenangi gelaran Piala TNB.

- Advertisement -