Jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mensasarkan pasukannya akan bermula dengan langkah kanan apabila mereka membuka tirai Liga Super musim baru menentang Pahang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Jumaat.

Yusri berkata kelebihan memulakan musim di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan dia percaya barisan pemain skuad warga kota sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaik.

Menurutnya, “Perlawanan pertama selalunya sukar, tetapi kita ada sedikit kelebihan dan saya yakin motivasi di dalam kem berada dalam tahap terbaik. Kita telah mengharungi pra-musim dan beberapa kelemahan telah diperbetulkan, tinggal sekarang bagaimana pemain-pemain akan menterjemahkan ianya dalam aksi kompetitif pula.”

Bercakap mengenai ‘orang besi’ Pahang, Dickson Nwakaeme yang kembali memperkuatkan pasukan itu selepas tiga musim berkelana, bekas pengendali Kelantan itu bersetuju pemain kelahiran Nigeria itu adalah penyerang yang cukup berbahaya malah berupaya memberikan masalah kepada pertahanan pasukannya.

Namun, dia akan mengekalkan strategi permainan yang sudah diterapkan sepanjang pra-musim, dan tidak bercadang merubahnya semata-mata untuk memberi lebih perhatian kepada Dickson.

“Secara taktikal dan teknikal, Dickson memang seorang pemain yang baik dengan kawalan bola dan rembatan padu. Tapi untuk letak seorang pertahanan kawal dia dengan ketat, saya rasa tidak perlu.

“Saya akan kekalkan corak permainan seperti kita tampilkan sebelum ini ketika pra-musim, kita bermain dengan baik dan kita tidak bercadang ubah formasi itu. Itu yang sebaiknya, dan kita akan cuba melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan,” katanya.

Menariknya, perlawanan menentang Pahang juga akan menjadi aksi pertama buat Yusri sebagai ketua jurulatih dalam kempen Liga Super.

Ketika mengendalikan Kelantan, dia merupakan penolong jurulatih dan kemudiannya bertindak selaku pemangku jurulatih pasukan sehingga akhir musim setelah Fajr Ibrahim membuat keputusan meletakkan jawatan. – OEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -