foto – Malaysian Football League

Baru sahaja beraksi dua perlawanan, gawang Kuala Lumpur dikawal bekas penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee Ramli sudahpun melepaskan tujuh gol.

Ini pantas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong skuad warga kota apatah lagi mereka memegang rekod defensif terburuk Liga Super musim lalu apabila bolos 51 gol dan situasi terbaru ini seolah memberi indikasi bahawa situasi itu akan berulang musim ini.

Ketua jurulatihnya Yusri Che Lah beberapa kali menekankan sewaktu pramusim betapa memperbaiki rekod buruk itu adalah sasaran utamanya musim ini, tetapi apa yang telah berjaya diperbaiki Yusri setakat ini tatkala barisan defensif KL terus rabak dirobek penyerang lawan?

Mungkin tidak wajar menilai kredibiliti pertahanan pasukan KL hanya selepas dua perlawanan, lebih-lebih lagi mengambil kira mereka menentang dua pasukan yang dianggap pilihan iaitu Pahang dan juara Liga Super lima kali Johor Darul Takzim.

Ketika tewas 1-3 kepada Pahang pada aksi pembukaan, pertahanan KL ‘dibinasakan’ gandingan import di barisan depan tok gajah diterajui Dickson Nwakaeme yang turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu.

Manakala dalam kekalahan 1-4 kepada JDT pada Jumaat lalu, pertahanan import dari Indonesia Achmad Jufriyanto mengalami kecederaan dan Yusri menyandarkan harapan sepenuhnya kepada tenaga pemain tempatan – Hafiz Johar, Hisyamudin Shaari, Zaiful Hakim, Irfan Zakaria.

Malah, Yusri menganggap barisan pertahanannya wajar diberikan pujian atas usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan apatah lagi ia bukan sesuatu yang mudah untuk menangani asakan ‘menggila’ pasukan Harimau Selatan yang mempunyai kekuatan sempurna di barisan depan, menerusi gandingan pemain import dan pemain kebangsaan.

Mereka juga berjaya menghalang skuad Benjamin Mora daripada menjaringkan gol dalam masa sebenar 45 minit pertama dan hanya bolos pada masa kecederaan hasil kesilapan Zaiful Hakim yang menghadiahkan penalti kepada JDT, di mana Yusri menyifatkan ianya sebagai punca momentum pasukannya terencat.

Apa pun alasannya, jika KL tidak mahu sekali lagi menjadi lubuk jaringan buat pasukan lawan, Yusri perlu segera mencari solusi mengatasi kepincangan ini daripada terus berlarutan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -