FAM tunda aksi persahabatan antarabangsa dengan Nepal

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/03/fam-tunda-aksi-persahabatan-antarabangsa-dengan-nepal">
Twitter
Pinterest

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penangguhan perlawanan persahabatan antarabangsa “A” antara skuad kebangsaan, Harimau Malaya bertemu Nepal yang dijadual di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac 2019 ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.

Meskipun mengetahui garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang hanya membenarkan dua perlawanan berstatus “A” pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA, dalam usaha untuk memperbaiki ranking dunia kami, FAM telah cuba untuk membuat rayuan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA bagi meluluskan perlawanan ketiga itu iaitu menentang Nepal pada 26 Mac 2019.

Peluang tampak cerah apabila pada 6 Mac 2019, pihak AFC telah meluluskan perlawanan tersebut, namun pada 7 Mac 2019, FIFA telah pun memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan tambahan itu tidak diluluskan sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus “A”.

Sebagai menghormati keputusan FIFA itu, FAM dan Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) telah bersetuju untuk menangguhkan perlawanan tersebut ke satu tarikh baharu semasa jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang bagi membolehkan kedua-dua negara menikmati peluang untuk mendapat mata bagi kiraan ranking dunia.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe kini di kedudukan ke-167 dalam ranking FIFA manakala Nepal di kedudukan ke-161.

Please follow and like us:
0