Kembalinya Langkawi ke dalam calendar laluan perlumbaan jelajah berbasikal terbesar di Asia Tenggara, Le Tour de Langkawi 2019 pastinya merupakan stau perkhabaran gembira buat penduduk setempat.

Selain dapat melihat sendiri bahang kehangatan perlumbaan secara langsung, nama Langkawi terus di perkenalkan dan dibawa ke pentas antarabangsa .

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melihat penganjuran LTdL 2019 yang berakhir di Pulau Langkawi mampu memberi impak yang lebih baik selepas diketepikan sejak 2014.

Malah, impian ini disuarakan sendiri Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan perlumbaan berstatus 2.HC diadakan di Langkawi.

“Ini sangat penting dan mustahak kerana seperti saya tekankan dalam ucapan saya tadi , ini merupakan permintaan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi. Dia juga merupakan pengasas Le Tour de Langkawi.

“Dia (Tun Mahathir) tekankan kalau boleh dia tidak mahu seperti tahun tahun lepas di mana Langkawi hanya dijadikan acara pembukaan.

“Dia nak perlumbaan penuh di Langkawi supaya semua pelumba pelumba daripada luar negara yang akan datang ke Malaysia betul betul dapat kelilingi seluruh Pulau Langkawi dan akhirnya bila dah tamat, berehat dan bercuti di sana,”kata Syed Saddiq.

Tambah Syed Saddiq lagi, kehadiran perlumbaan itu selama dua hari di bumi Langkawi pastinya dinanti nanti penduduk setempat, malahan penggemar sukan berbasikal di sekitar untuk datang dan memberi sokongan bukan sahaja kepada pasukan yang bertanding, tetapi pelumba pelumba tempatan.

Sementara itu, kehadiran PETRONAS yang tampil sebagai penaja utama bagi penganjuran LTdL edisi ke 24 tahun ini diharap menjadi tonik semangat kepada syarikat syarikat lain di Malaysia untuk bersama sama menaikkan imej perlumbaan ini.

“Ini saya rasa sangat penting khususnya apabila kita nak naikkan lagi status LTdL dan dengan PETRONAS menampilkan diri sebagai penaja utama, ini sangat mustahak bukan hanya kerana ini akan membantu kita untuk mengembalikan zaman kegemilangan LTdL, pada yang sama dapat memastikan lebih banyak syarikat korporat besar bersama untuk membudayakan sukan berbasikal di Malaysia.

“Kalau kita lihat jumlah anak muda dan juga mereka yang senior, mereka yang menyertai sukan berbasikal ini sudah bertambah pada skala yang cepat.

“Justeru, dengan adanya PETRONAS yang kin bukan sahaja dalam bidang sukan permotoran, tetapi juga berbasikal merupakan pentanda positif bagi nilai tambah baik sukan berbasikal Malaysia secara keseluruhan,”katanya lagi.

Saingan LTdL 2019 melibatkan 22 pasukan termasuk tiga wakil Malaysia, Terengganu Cycling (TSG), Sapura Cycling dan skuad kebangsaan.

Perlumbaan melibatkan lapan peringkat dijadual bermula dari Kuala Lumpur dan tamat di Langkawi.

 

- Advertisement -