Tamat saingan Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan pusingan pertama yang berlangsung di tiga lokasi, Kedah, Pulau Pinang dan Putrajaya dimana 12 kategori keseluruhan dipertandingkan melibatkan acara perseorangan dan bergu bagi lelaki dan perempuan bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun.

Selangor, tuan rumah Pulau Pinang, johor, Kuala Lumpur dan Sabah diletak dalam Divisyen Satu sementara Kedah menjadi tuan rumah bagi Melaka, Sarawak, perak dan Negeri Sembilan manakala Putrajaya menjadi tuan rumah bagi Pahang, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Pusingan pertama berakhir dengan beberapa cerita kejutan apabila pemain pemain yang tidak dilabel sebagai pilihan melakar kejutan tersendiri.

Nama nama seperti K Letshaana, Goo Vie Keat, dan Hafizullah Mohd Shukran dan Azim Izzudin Rosli antara yang menonjol pada pusingan pertama.

K Letshaana menjadi tumpuan seketika selepas mengejutkan pilhan utama Arena Satu Samin dari Sabah dalam aksi perseorangan perempuan bawah 16 tahun di Pulau Pinang.

Malah, Letshaana memastikan gelaran kedua menjadi miliknya selepas muncul juara bergu perempuan, bergandingan dengan Loh Zhi Wei untuk melakar kemenangan ke atas wakil Johor, Ler Yee Huey- Teoh Ju Kee.

Dilabel sebagai bintang dalam pembikinan oleh jurulatih remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng, Letshaana menjadikan Duta 100PLUS Datuk Wira Lee Chong wei dan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying sebagai idolanya.

Letshaana mara sehingga peringkat suku akhir ketika di Kejuaraan Sekolah Sekolah Asia yang berlangsung di Nagpu, India

“Saya mahu menjadi juara dunia. Saya ada matlamat dan berazam untuk menjadikannya kenyataan. Banyak yang perlu dilakukan untuk meraih kejayaan di kejohanan anjuran 100PLUS dan ia menjadi suntikan semangat untuk saya apatah lagi menang ke atas pilihan utama (Arena Satu Samin) untuk muncul juara,”kata Letshaana

Tidak kurang menarik cerita di Putrajaya dimana daripada 12 kategori, tujuh berjaya dirampas Pahang.

Hanya ucapan tahniah mampu diberikan kepada pemain pemain, dan barisan kejurulatihan Pahang yang memastikan kejayaan manis dilakar di Putrajaya.

“Sudah tentu kami berbangga dengan pencapaian ini kerana ia atas usaha dan latihan daripada pemain dan kejurulatihan sekaligus memastikan tujuh kemenangan berjaya diraih.

“Namun, ia bukan bermakna kami sudah boleh tersenyum lebar kerana masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sebelum pusingan kedua bermula pada Mei nanti,”kata Pengurus pasukan Pahang, Wan Suhaimi Wan Yaacob.

Selain K Letshaana yang muncul juara bagi acara perseorangan dan bergu perempuan, nama Evelyn Ng Yan Ni turut menjadi tumpuan selepas tamat pusingan pertama baru baru ini.

Evelyn meraih gelaran perseorangan perempuan bawah 16 tahun selepas menundukka Goo Vie Nie, malah menambah koleksi kejuaraannya tahun ini apabila meraih gelaran juara bergu perempuan selepas gandingannya bersama Tan Jet Sin berjaya menundukkan gandingan Terengganu, Nur Balqis Md Kher-Nur Hanis Sofea Md Zaki.

“Kemenangan ini jelas menjadi pembakar semangat untuk saya untuk menghadapi kejohanan kejohanan seterusnya.

“Ada beberapa kelemahan yang perlu di perbaiki khususnya kepantasan jika saya mahu lebih berjaya di masa akan datang,”kata Evelyn.

Bagi pengurusan Pahang, tiada masa untuk berehat sebelum pusingan kedua bermula pada Mei di laman sendiri.

“kami meletakkan sasaran untuk mencari lapan kemenangan ketika beraksi di laman sendiri nanti, justeru, kesemua pihak perlu memainkan peranan untuk menjadi sasaran ini menjadi kenyataan,”kata Wan Suhaimi lagi.

Saingan Divisyen Satu akan berlangsung di Johor sementara Divisyen Tiga menyaksikan Pahang menjadi tuan rumah dan kejohanan dijadual bermula dari 1 hingga 5 Mei manakala Divisyen Dua akan berlangsung di Melaka bermula 30 April hingga 4 Mei.  

- Advertisement -