Sapura sahut beri cabaran

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/03/sapura-sahut-beri-cabaran">
Twitter
Pinterest

Persiapan lebih rapi sejak tiga bulan lalu, meletakkan pasukan benua Asia, Sapura Cycling Team lebih bersedia untuk menghadapi saingan edisi ke-24 Le Tour de Langkawi 2019 yang bakal membuka tirainya pada 6 hingga 13 April ini.

Malah, Pengurus Pasukan Sapura, Sayuti Zahit memfokuskan jersi kuning sebagai sasaran utama, selain jersi pelumba terbaik Asia menerusi tiga pelumba muda berbakat besar yang akan diturunkan dalam jelajah lapan peringkat, yang bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,226.1km.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, Peringkat 4 dari Shah Alam ke Genting Highlands amat penting dalam perancangan dan strategi Sapura untuk merealisasikan impian besar mereka pada 2019 ini – tahun ketiga mereka bergelar pasukan benua Asia.

“Kami berharap pada LTdL tahun ini, kami dapat memberi saingan tahun ini, terutama di peringkat penting ke Genting Highlands, yang seterusnya akan mencorakkan strategi pasukan ini. Buat masa ini, kami akan mengambil pendekatan satu peringkat ke satu peringkat dan berharap enam pelumba yang disenaraikan kali ini, dapat memikul tugas dan peranan yang diberikan setiap hari.

“Ketika ini, kami menduduki senarai teratas dari segi pungutan masa pasukan benua Asia dan saya berharap posisi ini dapat dikekalkan selepas tamat LTdL 2019 dan sehingga penghujung tahun ini,” kata Sayuti.

Enam pelumba yang mengibar cabaran Sapura pada jelajah terunggul Asia berstatus 2HC ini ialah tiga wakil tempatan – Muhamad Zawawi Azman, Muhamad Nur Aiman Zariff dan Akmal Hakim Zakaria manakala tiga pelumba luar yang memperkuatkan pasukan itu adalah pelumba Australia, Benjamin Dyball, Jesse Ewart dan Cristian Relianue.

Dyball menjadi pertaruhan terbaik kerana bekas pelumba St George Continental Team itu tidak asing dengan LTdL apabila menduduki tempat kedua di belakang pemenang jersi kuning LTdL 2018 dari TSG, Artem Ovechkin di Cameron Highlands dan ketiga keseluruhan di akhir LTdL 2018, di belakang Ovechkin dan pelumba CCC Sprandi Polkowice, Lukasz Owsian.

Kelibat Dyball juga bukan asing dalam perlumbaan di Asia apabila menjuarai jersi kuning di International Tour de Banyuwangi, Ijen dan Piala Puteri Maha Sirindhorn Jelajah Thailand, selain tempat kedua keseluruhan di Tour of Fuzhou dan Tour of Taihu Lake.

Malah, dia dijangka tampil dengan lebih berkeyakinan bersama Sapura kerana masih segar dengan kejayaan memenangi gelaran juara lebuh raya dan ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Oceania pada pertengahan Mac ini, sebelum menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam Tour de Tochigi di Jepun, minggu lalu.

Dyball pastinya akan dibantu rakan senegara, Ewart, 31, yang meniti kecergasan yang baik apabila menduduki tangga ke-12 keseluruhan di Jelajah Taiwan awal bulan ini, selain ke-24 keseluruhan di Herald Sun Tour pada Januari lalu.

Seorang lagi pelumba import Sapura yang dilamar musim 2019 ini adalah Cristian Raileanu dari Moldova yang menyinar bersama pasukan Torku Sekerspor pada tahun lalu, termasuk memenangi jersi kuning Tour of Cartier dan bergelar juara kebangsaan Moldova 2018, selain tempat kedua di Tour of Antalya, Tour of Mesopotamia.

Tiga anak watan yang memperkuatkan cabaran Sapura turut dilihat semakin mantap sejak kebelakangan ini apabila diberi pendedahan berguna di Herald Sun Tour, Jelajah Taiwan dan Tour de Tochigi di Jepun, terutama Muhamad Zawawi dan Nur Aiman.

“Kami berharap Dyball dan Muhamad Zawawi mampu memberi saingan dalam perebutan jersi kuning terutama di Genting Highlands manakala Nur Aiman pula mampu melakukan sesuatu dalam kategori pelumba terbaik Asia,” kata Sayuti.

LTdL 2019 akan bermula dengan peringkat pertama dari Kuala Lumpur ke Tampin sejauh 176.9km dan berakhir dengan Loop Dataran Lang-Kuah di Langkawi sejauh 103.8km.

SAPURA CYCLING TEAM

Muhamad Zawawi Azman (MAS); Muhamad Nur Aiman Zariff (MAS); Akmal Hakim Zakaria (MAS); Benjamin Dyball (AUS); Jesse Ewart (AUS); Cristian Raileanu (MDV)

Perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak 1,234km itu bermula dengan kayuhan menyusuri laluan berbukit dan landai sejauh 176.9km dari perkarangan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin Negeri Sembilan.

Kayuhan ke Genting Highlands, yang kembali mewarnai saingan LTdL selepas empat tahun, berlangsung pada hari ke-4 dari Shah Alam. Langkawi pula menjadi hos mula dan penamat bagi dua peringkat terakhir pada 12 April di Pantai Cenang dan 13 April di Pekan Kuah.

Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unites, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia  untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.

Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.

Please follow and like us:
0