Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 telah pun diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini.

Setiausaha Agunf FAM, Stuart Ramalingam menerusi kenyataan yang dikeluarkan badan induk bolasepak Malaysia itu hari ini berkata, tunggakan melibatkan pasukan PDRM telah pun dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari 2019.

Manakala proses pembayaran tiga lagi pasukan, Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC telah dilakukan pada Selasa lalu, 5 Mac 2019 sementara tunggakkan melibatkan pasukan Terengganu City FC diselesaikan pada hari ini, 7 Mac 2019.

“Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat dalam beberapa minggu lagi.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah berjumlah RM2,517,959.40,”kata Stuart.

Tambah Stuart lagi, tunggakan keseluruhan melibatkan pemain dan pegawai  belum selesai sepenuhnya kerana jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan yang terlibat.

“Baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan.

“Inisiatif diambil FAM untuk menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu-individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji ini,” katanya lagi.

FAM  mengharapkan usaha yang dilakukan dihargai pasukan terlibat selain mewujudkan rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai yang terlibat. 

 

- Advertisement -