Hasrat untuk melihat bergu campuran negara, Goh Soon Huat – Shevon Lai Jamie untuk melangkah ke final All England tidak kesampaian selepas kecundang di peringkat separuh akhir hari ini.

Goh dan Shevon yang turun dengan status pemain bukan pilihan ternyata bukan tandingan satu lagi semi finalis, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.

Turun dengan status juara bertahan yang juga pilihan ketiga kejohanan, Watanabe dan Higashino ternyata sukar untuk ditandingi.

Berbekalkan semangat juang yang tinggi selepas melakar kejutan ke atas pilihan ketujuh dari England, Marcus Ellis – Lauren Smith (pusingan kedua) dan pilihan kedua dari China Wang Yilyu-Huang Dongping di peringkat suku akhir semalam, Goh Soon Huat – Shevon Lai Jamie tampak bergelut untuk mencari ruang sekaligus meraih mata ke atas lawan mereka.

Pertemuan sulung diantara kedua dua bergu ini memihak Yuta Watanabe – Arisa Higashino yang menutup aksi separuh akhir dengan kemenangan straight set 21-16, 21-13 dalam masa 37 minit.

Sandaran Malaysia kini terletak di bahu bergu lelaki, Aaron Chia – Soh Wooi Yik yang akan turun menentang pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian – Muhd Rian Ardianto lewat malam ini (waktu Malaysia) .

- Advertisement -