Bevilacqua hadiah kemenangan buat Neri; Dyball hampiri gelaran juara

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/bevilacqua-hadiah-kemenangan-buat-neri-sottoli-dyball-hampiri-gelaran-juara">
Twitter
Pinterest

Pelumba Neri Sottoli Selle Italia-KTM, Simone Bevilacqua membuat kejutan apabila muncul pemenang Peringkat 7 jelajah PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 di Pantai Cenang di sini, hari ini.

Pelumba 22 tahun kelahiran Thiene, Itali itu mengejutkan pakar-pakar pecut lain untuk muncul pelumba terpantas dalam peringkat sejauh 106.8km mengelilingi Pulau Langkawi yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang itu, mengetepikan pemenang tempat kedua dari Brunei Continental Team, Charlampos Kastrantas serta pelumba St George, Craig Wiggins ketika henjutan beramai-ramai ke garisan penamat.

Bevilacqua mengetuai kelompok besar dengan mencatat masa 2 jam 17 minit 15 saat, tatkala pakar pecut lain sedikit tercicir ketika tiba di garisan penamat dengan pemenang dua peringkat Matteo Pelucchi sekadar di tempat kelima, Youcef Reguigui (ke-7), Travis McCabe (ke-8) dan Harrif Saleh (ke-9).

Di akhir Peringkat 7 itu, penyarung jersi kuning Benjamin Dyball dari Sapura Cycling Team semakin menghampiri jersi kuning apabila menamatkan kayuhan dalam kelompok besar, begitu juga penyarung jersi putih dari Vino Astana, Vadim Pronskiy.

Pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons seakan mengesahkan jersi merah Raja Bukit apabila menguasai kedua-dua zon pendakian di Bukit Beringin dan Telaga Harbour, dan kini mengumpul 59 mata, 24 mata di depan pencabar terdekat Dyball.

McCabe, pelumba Floyd’s Racing yang muncu pemenang Peringkat 3 di Putrajaya, juga semakin mencengkam jersi hijau Raja Pecut apabila terus selesa mengumpul 80 mata, 18 mata di depan pelumba dari Terengganu Inc Cycling Team, Harrif.

Namun kemunculan Bevilacqua sebagai pemenang peringkat di Pantai Cenang itu, sedikit mengejutkan ketika tumpuan terakhir kepada Pelucchi yang memburu kemenangan ketiga berturut-turut, dan pelumba Bardiani-CSF, Andrea Guardini yang terus kemarau kemenangan pada edisi LTdL ke-24 ini.

“Saya sebenarnya bukan pakar pecut kerana pasukan mengharapkan Luca (Raggio) untuk memenangi peringkat ini, lebih-lebih lagi apabila dia meloloskan diri dan berada dalam kelompok depan.

“Tetapi Luca dapat ditangkap menjelang tiba ke garisan penamat dan pada baki 800 meter, saya memilih untuk berada di belakang barisan pelumba Bardiani, sebelum memilih ruang di sebelah kanan untuk memecut ketika pelumba depan teragak-agak kerana terlihat seekor anjing sedang melintas di atas jalan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan besar ini, lebih-lebih lagi kerana saya tidak banyak berlumba sebelum datang ke sini,” kata Bevilacqua yang mengalami kekejangan dan dehidrasi pada awal jelajah ini kerana kekurangan air dalam badan, sedangkan nama keluarganya bermaksud ‘banyak minum air’.

Sementara itu Dyball yang kini mengumpul catatan masa keseluruhan 26 jam 58 minit dan 11 saat,  mengakui dia semakin yakin akan bergelar juara individu keseluruhan pada edisi tahun ini, tetapi tetap berwaspada menjelang peringkat terakhir di Kuah, Langkawi, esok.

“Seperti peringkat-peringkat sebelum ini, perlumbaan amat sukar kerana ada banyak cubaan meloloskan diri di depan hinggakan saya dan rakan sepasukan terpaksa bekerja keras memastikan jurang masa tidak terlalu besar.

“Mujurlah hari ini ada pelumba kebangsaan Jepun membantu kami di depan peloton untuk mengejar kumpulan lima pelumba itu.

“Pada peringkat terakhir esok, sekali lagi saya perlu mengawasi pencabar-pencabar terdekat terutama Hernan (Aguirre) supaya mereka tidak cuba meloloskan diri dan berada terlalu jauh, sambil saya berkayuh secara selamat untuk menamatkan perlumbaan,” kata pelumba Australia itu.

Pelumba Oliver’s Real Food, Lyons yang menyarung jersi merah Raja Bukit sejak peringkat pertama, mengesahkan jersi itu secara matematik tetapi sedar dia perlu menghabiskan perlumbaan esok.

“Saya sudah mengesahkannya hari ini tetapi saya perlu memastikan dapat menamatkan perlumbaan esok. Hari ini, saya memastikan mata maksimum pada kedua-dua zon pendakian.

“Esok saya perlu membantu rakan sepasukan untuk cuba mencari kemenangan peringkat pula. Hari ini Brendon (Davids) mencuba tetapi gagal dan saya berharap masih ada peluang,” katanya yang turut berbangga rakan senegara Dyball, semakin hamper untuk mengesahkan jersi kuning pada edisi ke-24 ini.

Pada Peringkat 8 dan terakhir esok, pelumba akan mengelilingi loop Dataran Lang-Pekan Kuah sejauh 103.8km, melalui Kisap, Kampung Kilim, Jalan Ulu Melaka, Nyior Chabang, Kampung Lubuk Buaya, Simpang Kenyum, Taman harmoni sebelum menuju ke Kuah untuk membuat pusingan kecil di Kelibang, Taman Mawar dan Lebuh Raya Langkawi, sebelum berakhir di Pekan Kuah.

Please follow and like us:
0