Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin tidak akan bertanding sebagai naib presiden zon Asean dalam Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-29 yang bakal berlangsung Sabtu ini, walaupun mendapat percalonan daripada beberapa ahli gabungan.

Beliau yang dipilih sebagai Presiden FAM pada Julai tahun lalu sebaliknya akan menumpukan kepada usaha menjadi ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023.

Pemilihan pada 6 April ini juga bakal menyaksikan jawatan Presiden AFC diisi Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang dipilih semula tanpa bertanding.

Antara lain turut menyaksikan pemilihan lima Naib Presiden AFC dan enam Ahli Majlis FIFA, serta lima anggota jawatankuasa eksekutif wanita AFC dan sembilan Ahli jawatankuasa eksekutif AFC.

Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan negara Asean, Dato’ Haji Hamidin telah memutuskan untuk memberi sokongan padu kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF), Zaw Zaw.

Dato’ Haji Hamidin berkata, beliau yakin Zaw Zaw yang juga Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), memiliki ciri-ciri dan ketokohan sebagai pemimpin tertinggi AFC.

Dalam pada itu, turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden zon Asean ialah Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Dr Tran Quoc Tuan, yang juga dicalonkan untuk jawatan exco.

“Saya menghormati dan memandang tinggi Zaw Zaw. Setelah melakukan semua pertimbangan, saya memutuskan untuk tarik diri dari bertanding jawatan naib presiden walaupun mendapat percalonan ahli gabungan dan sebaliknya memilih untuk bertanding merebut kerusi exco selepas mendapat sokongan.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah jalinan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan persatuan anggota AFF,” kata Dato’ Haji Hamidin.

- Advertisement -