Pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Hariff Salleh membuktikan kehebatannya apabila menguasai henjutan pecut beramai-ramai dan memenangi Peringkat 2 PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2019 dari Senawang ke Melaka, hari ini.

Hariff, 30, bijak mengekori teman sepasukan pada kilometre terakhir sebelum memilih untuk berada di belakang Andrea Guardini, sebelum memintas pelumba pasukan Bardiani-CSF itu pada saat-saat akhir, menamatkan kayuhan sejauh 200.6km itu dengan masa 4 jam 53 minit 20 saat.

Guardini di tempat kedua manakala pelumba kebangsaan Jepun, Kazushige Kuboki di tempat ketiga.

Satu-satunya kemenangan peringkat oleh pelumba tempatan dalam sejarah panjang LTdL yang diperkenalkan pada 1996 ialah ketika Anuar Manan menenangi Peringkat 5 LTdL 2010 di Port Dickson.

Pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Marcus Culey berkayuh secara selamat dan terus mengekalkan jersi kuning yang disarung selepas kemenangan Peringkat 1 di Tampin, semalam, dengan masa terkumpul 9 jam 13 minit 47 saat, 9 saat di depan pencabar terdekat dari pasukan Oliver’s Real Food Racing, Brendon Davies.

Pelumba kelahiran Australia itu juga masih mengekalkan jersi hijau Raja Pecut dengan 21 mata, tetap hanya dibezakan 1 mata di depan Michael Freiberg (Pro racing Sunshine Coast) dan pelumba Bardiani, Paolo Simion (19 mata).

Pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons masih mengekalkan jersi merah Raja Bukit apabila menguasai zon pendakian pertama di Bukit Putus, dan mengukuhkan kedudukannya dengan 34 mata, 16 mata di depan Culey.

Pelumba pasukan KSPO dari Korea Selatan, Kim Jihun merampas jersi putih Pelumba Terbaik Asia daripada pelumba Vino-Astana, Grigoriy Shtein, dan kini hanya berkelebihan 2 saat di depan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan Peringkat 2 LTdL 2019 itu milik Hariff – antara pakar pecut digeruni dalam perlumbaan peringkat Asia.

“Lebih manis sebab strategi pasukan dan saya sendiri menjadi hari ini serta dapat menewaskan pelumba hebat seperti Guardini. Saya tahu masanya akan tiba kerana pernah sekali berada di tempat kedua pada 2012 dulu dan tahun lepas pula dua kali di tempat ketiga.

“Keputusan setakat ini, termasuk selepas pelumba pasukan tempatan Sapura (TSC) semalam dan kemenangan TSG pula hari ini, adalah permulaan yang baik buat dunia berbasikal Malaysia dan saya turut menghadiahkan kemenangan ini untuk isteri, Nurshahira Nordin yang sedang hamil anak pertama kami selepas berkahwin lima tahun,” kata Hariff.

“Memang selepas peringkat pertama yang sukar semalam, saya hanya berada di dalam kelompok besar dan bertindak pada ketika menghampiri garisan penamat.

“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan seperti Artem (Ovechkin) dan Yousef (Reguigui) yang mencari ruang dan  menarik saya ke depan sebelum saya memilih untuk berada di belakang Guardini.

“Pada baki 100 meter, saya dapat merasakan pecutan Guardini semakin lemah dan saya dapat memotongnya,” kata Hariff yang turut berterima kasih kepada pasukan Sapura kerana bekerja keras di dalam kelompok besar untuk mengejar kumpulan pemecah sebelum menangkap mereka pada baki 20km.

Sementara itu, Culey mengakui tempo perlumbaan agak kelam kabut dan sukar buat Sapura yang terpaksa bekerja keras untuk mengejar beberapa kumpulan pelumba yang membuat pemecahan awal.

“Tetapi saya gembira akhirnya dapat mempertahankan jersi kuning ini dan berharap ia kekal sehingga peringkat pendakian ke Genting. Saya akan menyerap tekanan selaku penyarung jersi kuning ini dari satu peringkat ke satu peringkat,” kata Culey.

Peringkat 3 LTdL 2019 esok membabitkan kayuhan dari Muar ke Putrajaya sejauh 192.9km.

- Advertisement -