Human Voyage lulus

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/human-voyage-lulus">
Twitter
Pinterest

Selepas pelbagai ketidaktentuan dan tanda tanya sebelum Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan penganjuran edisi ke-24 Le Tour de Langkawi diberikan kepada Human Voyage Sdn Bhd, banyak pihak berasa sangsi sama ada jelajah berbasikal terulung Asia itu akan mencapai matlamatnya, atau sebaliknya.

Dengan hanya beberapa minggu persediaan dan persiapan, segala-galanya tampak terlalu suntuk tetapi apabila Human Voyage mengadakan majlis pelancaran laluan dan kemudian memperkenalkan syarikat petroleum nasional Petronas selaku penaja rasmi, barulah peminat berbasikal lega dan ternanti-nanti akan acara tahunan itu.

Perubahan tarikh baru pada April nyata memberi sedikit tamparan apabila penganjur gagal menarik penyertaan pasukan berstatus World Team, tetapi kemasukan semula laluan ke Genting Highlands menyelamatkan seri jelajah berstatus 2 Hors Classe (HC) itu.

Bermula dengan Peringkat 1 dari pekarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan berakhir di Tampin, sedikit sebanyak kerisauan mula terhakis dan pada peringkat-peringkat seterusnya, perjalanan perlumbaan LTdL 2019 berjalan lancar tanpa sebarang masalah sehingga mengundang pujian Presiden Komisar yang dilantik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Sven Calus.

Kemunculan pemenang jersi kuning Benjamin Dyball dari pasukan tempatan Sapura Cycling Team, serta kejayaan pelumba Terengganu Inc Cycling Team Harrif Saleh mengungguli Peringkat 2 dari Muar ke Melaka, menggembirakan peminat tempatan, sebelum kemeriahan pendakian ke puncak Genting Highlands dapat disaksikan semula selepas empat tahun.

Di dalam peloton pula, kayuhan dalam tempo yang pantas pada setiap hari dengan purata kelajuan melebihi 45kmj turut menarik perhatian peminat yang dari seluruh dunia, lebih-lebih lagi ia dilakukan pelumba di bawah cuaca panas tropika.

Edisi ke-24 ini pasti menjadi detik bersejarah dalam karier Dyball; Raja Pecut dari pasukan Floyd’s Racing Pro, Travis McCabe; Raja Bukit dari Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons serta Pelumba Terbaik Asia dari Vino-Astana, Vadim Pronskiy, untuk membuka mata pasukan handalan dunia selepas ini, seperti mana yang pernah dilakukan nama-nama besar dalam sukan berbasikal yang mencipta nama di LTdL, seperti Alesandro Petacchi, Fred Rodriguez, Jose Serpa, Marcel Kittel dan terbaru Caleb Ewan.

Dua peringkat terakhir di Langkawi turut menonjolkan semula nama pulau legenda itu sebagai tempat kelahiran jelajah terunggul Asia itu, sehingga mengundang pujian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir melepaskan pelumba pada hari pertama dan turun padang pada hari terakhir untuk menyampaikan hadiah dan jersi pemenang.

“Mula-mula dulu ketika LTdL diperkenalkan, orang tak nampak tetapi sekarang mereka boleh nampak kejayaannya, dengan pelumba dan pasukan tempatan boleh menang jersi.

“Kita juga boleh nampak kemeriahannya hidup semula, ramai yang keluar dan datang untuk melihat perlumbaan sepanjang lapan hari, malah perlumbaan juga dirakam menerusi televisyen dan ditonton hamper 400 juta penonton seluruh dunia.

“Rakyat Malaysia gembira dengan acara ini dan nama Langkawi turut menjadi pusat sukan, riadah dan tumpuan acara berbasikal,” kata Dr Mahathir lagi.

Mengulas keseluruhan perjalanan LTdL 2019 yang melabuhkan tirainya semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa dalam sidang medianya berkata, walaupun kesuntukan masa, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran kali ini.

Malah Human Voyage bersikap terbuka untuk menerima dan menimbang sebarang cadangan bagi memastikan kelicinan dan kerancakan penganjuran pada tahun hadapan.

“Jika diambil kira tempoh persiapan kira-kira satu setengah bulan, saya amat berpuas hati, lebih-lebih lagi dengan sokongan yang diberikan pihak kementerian, penaja, swasta, badan kerajaan dan orang ramai.  Malah kami menerima maklum balas positif daripada beberapa kerajaan negeri dan bandar yang berminat untuk menjadi hos pada tahun depan.

“Sudah tentu kami akan memperbaiki setiap kelemahan yang ada, melakukan persiapan lebih awal dan rapi demi memastikan jelajah ini lebih menarik pada edisi akan datang.

“Kami akur mengenai tarikh perlumbaan tahun ini yang tidak begitu ideal untuk menarik kehadiran pasukan handalan dunia dan pihak kami akan cuba mencadangkan tarikh yang lebih sesuai kepada UCI, mungkin pada penghujung Januari atau Februari ketika kalendar perlumbaan di Eropah belum bermula.

“Tetapi ingin saya berkongsi di sini bahawa Presiden Komisar yang dilantik UCI, Sven Calus berpuas hati dengan perjalanan perlumbaan,” kata Ahmad lagi.

Please follow and like us:
0