Faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang diraih dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan pelayaran membolehkan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018 pada 10 April ini.

Persatuan Pelayaran Malaysia juga baru-baru ini menjadi salah satu daripada enam persatuan sukan kebangsaan yang mendapat penarafan lima bintang menerusi Penilaian Penarafan Bintang 2018 oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Penarafan bintang yang diadakan dua tahun sekali itu bertujuan untuk melihat sejauhmana pencapaian badan sukan kebangsaan di dalam aspek tadbir urus selaras dengan keperluan Akta Pembangunan Sukan 1997 disamping menjadi rujukan kepada Kementerian Belia Dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia dalam aspek pembangunan sukan.

“Untuk tahun ini kita merasakan sememangnya Persatuan Pelayaran Malaysia layak menerima Anugerah Persatuan Dinamik berdasarkan pencapaian atlet serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik.

“Di samping itu atlet-atlet pelayaran juga tidak pernah menghampakan kem sukan negara dengan pencapaian yang membanggakan,” kata Setiausaha SAM Ahmed Faisal Jamal.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun lepas amat bermakna buat skuad pelayaran negara apabila berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, menghadiahkan pingat emas keenam kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 manakala pingat perak menerusi pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara Laser Standard.

Pingat gangsa pula disumbang masing-masing dalam acara Laser Radial menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif; 470 wanita melalui gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed serta gandingan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One.

Selain atletnya meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan baik di rantau Asia mahupun peringkat dunia, MYA turut mempamerkan kreadibilitinya dalam menganjurkan klinik kejurulatihan dan juga program pencarian bakat.

Majlis Anugerah SAM-100Plus 2018 yang akan berlangsung pada 10 April ini turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis berkenaan.

Turut sama pada majlis bersempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 21 Feb 1969 itu ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet dan persatuan sukan, Anugerah SAM-100Plus 2018 turut memberikan pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

- Advertisement -